KUIH TRADISIONAL… Salbiah Sulaiman adalah antara pengusaha kuih tradisional Terengganu yang membekalkan kuih baulu kepada Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) untuk dieksport ke Dubai. Foto: Tuan Azam T. Johan

Kuih Tradisional T'ganu Tembusi Pasaran Dubai

Oleh Elmi Rizal Elias

KUALA TERENGGANU, 27 Jun (Bernama) -- Pada mulanya, mereka berniaga kuih tradisional secara kecil-kecilan dan mengambil tempahan terutama menjelang hari-hari perayaan tetapi kini ia menjadi satu kerjaya bagi menambahkan pendapatan keluarga.

Kalau dahulu, pengusaha-pengusaha membuat kuih tradisional untuk dijual di sekitar kawasan tempat tinggal mereka, kini hasil mereka telah dikomersialkan serta dipasarkan di luar negara.

Siapa sangka kuih tradisional Terengganu seperti apit-apit dan kuih gulung yang dikenali juga sebagai rokok Arab yang dibuat di Kampung Tanjung Bunut, Manir di sini telah dipasarkan hingga ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.

Begitu juga dengan rempeyek dari Al-Mukhtafibillah Shah di Dungun, keropok sira berlada dari Kampung Pulau Musang, baulu dari Simpang Tok Ku dan dodol daun palas yang dibuat di Kampung Batangan, Marang telah juga menempa nama di peringkat antarabangsa.

Semuanya itu menjadi kenyataan atas inisiatif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT), sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang optimis bahawa usaha mempromosi Terengganu kepada dunia luar, tidaklah semestinya menerusi industri pelancongan semata-mata.

EKSPORT KUIH

Negeri Terengganu juga boleh ditonjolkan dengan industri kuih tradisionalnya, kata Pengurus YPUT Mustafar Khalid.

Kata beliau, sejak dua bulan lepas yayasan itu telah mengeksport enam jenis kuih tradisional Terengganu ke Dubai menerusi pengedarnya D'Rasa Timur Sdn Bhd.

Pada peringkat permulaan, YPUT telah menghantar lima karton bagi setiap jenis kuih tersebut di mana setiap karton itu mengandungi 120 bungkusan dengan setiap bungkusan seberat 1.2 kg.

"Sehingga hari ini, kita telah menghantar 250 karton kuih-muih tradisional tersebut ke Dubai. Kita menghantar kuih-muih ini berdasarkan kepada permintaan, mana kuih yang kurang, kita hantar," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata pada masa ini, kuih-muih yang dihantar ke Dubai menggunakan jenama "Rasa Kampung" yang menggunakan satu saiz bungkusan sahaja iaitu 6 inci x 4 inci.

Namun, katanya bagi tempoh jangka panjang, YPUT akan menggunakan bungkusannya sendiri yang tertera perkataan "Terengganu Brand" pada setiap bungkusan kuih tersebut.

"Sudah ada tiga reka bentuk pembungkusan ini. Kita akan pilih dan logo baru ini kita jangka dapat digunakan pada pertengahan bulan depan. Kita juga akan membuat bungkusan ini dalam beberapa saiz," katanya.

SATU DAERAH SATU INDUSTRI

Mustafar berkata sambutan terhadap kuih-muih tradisional itu, yang diusahakan di bawah konsep Satu Daerah Satu Industri (Sadsi), amat menggalakkan terutama kuih yang mempunyai perisa pedas atau berempah seperti keropok sira berlada dan rempeyek.

"Di Dubai, terdapat ramai pekerja Bangladesh dan mereka memang suka makanan yang ada rempah-ratus. Jadi, tiada masalah pasaran untuk produk-produk kita di sana," katanya.

Beliau berkata di bawah program Sadsi, YPUT akan membeli kuih-muih tradisional daripada para pengusaha tempatan dan kemudian membungkusnya semula menggunakan jenama pembekalnya sebelum dipasarkan ke Dubai dan pasaran dalam negeri.

Mustafar berkata dalam memperkenalkan lagi kuih-muih tradisional Terengganu itu kepada dunia luar, YPUT telah menyertai karnival 'Taste of Malaysia' di hipermarket Carrefour di Dubai, baru-baru ini.

BARANGAN LAIN

Beliau berkata selain enam jenis kuih tersebut, YPUT juga mempromosikan barangan lain keluaran pengusaha-pengusaha Terengganu seperti Sardin Pertima, rempah-ratus, sabun, minyak akar kayu, bingkai, kopi tamar dan sebagainya pada karnival tersebut.

"Sekarang ini, kita telah terima pertanyaan daripada 12 pengedar di Dubai yang berminat untuk mengimport barangan kita termasuk enam jenis kuih tersebut untuk dipasarkan di sana," katanya.

Sementara itu, pengusaha keropok sira berlada, Rasimah Abdul Aziz, 43, berkata menerusi inisiatif yang diperkenalkan oleh YPUT untuk memasarkan produknya ke Dubai telah menambahkan pendapatannya.

Beliau yang telah mengusahakan produknya itu di Kampung Pulau Musang dekat sini sejak 10 tahun lepas, berkata sebelum ini, beliau menjual barangannya itu untuk pasaran di sekitar Terengganu serta beberapa tempat lain khususnya di Kuala Lumpur.

"Saya berterima kasih kepada YPUT kerana selain dapat menambahkan pendapatan, barangan yang dihasilkan saya dapat dijual di luar negara," katanya.

NIRA NIPAH

Sementara itu, Mustafar berkata YPUT juga bercadang menghantar produk daripada nira nipah ke Dubai tidak lama lagi, kerana semasa karnival 'Taste of Malaysia', ramai pengunjung yang meminati produk tersebut.

"Kita banyak terima pertanyaan supaya menghantar produk nira nipah ini ke Dubai dan kita bercadang untuk memasarkannya dalam pelbagai bentuk seperti mocha nipah dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata YPUT akan membina kilang di Marang bagi menempatkan mesin dan peralatan memproses bahan tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka melancarkan kilang tersebut pada Julai ini.

-- BERNAMA