Syarikat Perkenal Beg Plastik Boleh Urai Untuk Pelihara Alam Sekitar

Oleh Mohd Haikal Isa

JOHOR BAHARU, 9 Jun (Bernama) -- Bimbang terhadap kesan jangka panjang penggunaan produk berasaskan plastik ke atas alam sekitar, syarikat tempatan Seri Limbang Bersatu Sdn Bhd (SLB) kini memperkenalkan beg plastik yang telah terbukti menerusi kajian boleh terurai secara semula jadi apabila dibuang.

Pengurus pemasaran SLB Mohd Firdaus Soh Abdullah berkata, menerusi kajian yang dilakukan di dalam makmal dan persekitaran biasa, beg-beg plastik keluaran syarikatnya mulai terurai secara semula jadi dalam tempoh enam hingga sembilan bulan.

Ia adalah suatu pencapaian yang amat baik untuk alam sekitar kerana beg-beg plastik yang biasa kita hantar ke kawasan pembuangan sampah terpaksa mengambil masa sehingga 400 tahun untuk terurai secara semula jadi, katanya.

"Beg-beg plastik keluaran syarikat kami telah terbukti terurai secara biologi dan ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan dan masyarakat yang mahu melihat keadaan alam sekitar di Malaysia menjadi lebih baik."

"Kami yakin produk keluaran syarikat berupaya menyelesaikan banyak permasalahan alam sekitar yang dihadapi oleh masyarakat," katanya kepada Bernama pada satu temuramah di sini, hari Jumaat.

SLB yang bertaraf syarikat Bumiputera mempunyai kilangnya di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sini. Ia merupakan syarikat pertama di negara ini yang menghasilkan beg plastik boleh urai itu.

Menurut Mohd Firdaus, proses penguraian beg plastik keluarannya terjadi apabila pendedahan kepada cahaya matahari dan lain-lain faktor semula jadi membuatkan saiz molekul-molekul polietilena di dalam beg plastik itu semakin mengecil.

Proses pengecilan saiz dan kekuatan molekul tersebut katanya, akan berterusan sehingga mikro organisma lain berupaya mengurai dan menukarkannya kepada karbon dioksida dan keladak air.

Penggunaan beg-beg plastik yang berupaya terurai secara semula jadi itu di antaranya akan membantu usaha kerajaan mengurangkan pembinaan kawasan pembuangan sampah terbuka, sekaligus menjimatkan sumber kewangan negara, katanya.

Menurutnya, penggunaan beg-beg plastik mesra alam sekitar seperti yang dihasilkan oleh syarikatnya, bukan merupakan sesuatu yang baru bagi negara-negara di Eropah seperti United Kingdom, Jepun dan Amerika Syarikat yang terkenal dengan peraturan alam sekitar yang ketat.

"Negara-negara maju telah lama menggunakannya (beg plastik boleh urai) dan kini syarikat mahu memperkenalkannya kepada masyarakat pengguna dan kerajaan di Malaysia," kata Mohd Firdaus.

Beliau juga berkata, selain mesra alam sekitar, beg plastik keluaran syarikat itu juga lebih teguh dan tidak mudah koyak apabila menampung bebanan serta jauh lebih murah berbanding plastik sampah hitam yang kerap digunakan pada masa kini.

Katanya, produk keluaran syarikat dianggarkan lebih murah di antara 13 peratus hingga 33 peratus di pasaran berbanding beg-beg plastik yang dikeluarkan oleh para pesaing mereka.

Mohd Firdaus berkata, beg-beg plastik keluaran SLB mempunyai kemampuan untuk menampung bebanan dari 180 liter hingga ke 20 liter dan bersesuaian digunakan oleh majlis bandaran, syarikat-syarikat pembersihan, hospital, hotel, pasaraya besar, pasaraya mini dan pengguna persendirian.

-- BERNAMA