Beban Hutang Kad Kredit Di Kalangan Generasi Muda Membimbangkan

Oleh NorHayati Muda

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Suatu ketika dahulu kad kredit dianggap satu simbol kemewahan kerana hanya yang berpendapatan tinggi saja layak memilikinya.

Namun sejak beberapa tahun lepas, syarat pengeluaran kad kredit kepada pengguna dipermudahkan dan penggunaan sistem itu sebagai kaedah pembayaran semakin meluas di negara ini.

Buktinya, statistik yang dikeluarkan dalam Laporan Pengguna dan Perdagangan 2005 menunjukkan sepanjang tahun lepas rakyat Malaysia membelanjakan RM45.2 bilion menerusi kad kredit iaitu peningkatan 13.9 peratus berbanding 2004.

Walaupun bulan lepas Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pernah menyatakan bahawa lebih 60 peratus daripada jumlah hutang itu dilangsaikan, secara realiti telah wujud satu trend yang membimbangkan iaitu kebergantungan generasi muda terhadap kad kredit.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Talaat Husain berkata yang semakin membimbangkan ialah statistik Bank Negara tahun lepas iaitu lebih 25 peratus daripada pengguna muda diisytihar bankrap kerana gagal menyelesaikan hutang kad kredit mereka.

Talaat yang ditemui Bernama selepas prapelancaran laporan itu di sini hari ini berkata berdasarkan statistik tersebut, kebanyakan pengguna muda itu berusia dalam lingkungan 25 tahun dan baru memulakan kerjaya.

"Ini satu trend yang membimbangkan, trend negatif yang berlaku di kalangan pengguna muda dan kita harus pastikan masalah ini tidak berlarutan kerana ia akan turut menjejaskan sosio ekonomi mereka," katanya.

Beliau berkata antara faktor utama yang memburukkan masalah itu ialah syarat permohonan kad kredit institusi kewangan dan pengeluar kad kredit yang agak longgar.

"Kami berpandangan peraturan ini perlu diketatkan sedikit seperti dari segi pendapatan minimum, misalnya perlu dinaikkan. Sekarang kita tengok hampir semua yang berpendapatan tetap boleh mendapatkan kad kredit ini," kata Talaat.

Beliau tidak menolak kelonggaran syarat itu telah meningkatkan jumlah kad kredit yang dikeluarkan, tetapi kegagalan pengguna melangsaikan hutang mereka akan turut membebankan institusi kewangan yang berkenaan.

"Dalam hal ini, kedua-dua pihak kerugian iaitu pengguna mungkin diisytihar bankrap dan institusi berkenaan terpaksa melupuskan hutang tersebut," katanya.

Oleh itu kata Talaat, masanya telah tiba untuk Bank Negara dan institusi kewangan serta pengeluar kad kredit meneliti semula garis panduan pengeluaran kad kredit tersebut bagi memastikan hanya yang benar-benar layak sahaja memiliki kemudahan itu.

"Kita bukan hendak menyekat kemajuan, tetapi jika kemajuan itu telah menjadi masalah, maka sesuatu perlu dilakukan agar tidak menjadi lebih buruk yang akhirnya membebankan negara," katanya.

Ditanya mengenai punca yang mengakibatkan beban hutang berlebihan di kalangan pengguna muda, Talaat berkata perkara itu mungkin berlaku kerana kad kredit dilihat sebagai satu sumber kewangan yang mudah.

Keadaan tersebut kata beliau mendorong generasi muda ini yang baru mengecapi alam pekerjaan berbelanja secara tidak bijak dengan membeli barang-barang yang tidak diperlukan.

"Mereka mempunyai kuasa membeli tapi masalah timbul apabila mereka membeli barang yang tidak perlu.

"Oleh itu kita di kementerian sentiasa menjalankan program mendidik pengguna muda kita ini agar mereka juga menjadi pengguna bijak sebab kita bimbang jika masalah ini dibiar berlarutan, akhirnya kita akan dibebani golongan muda yang berhutang," katanya.

-- BERNAMA