Polis Marin Rampas 100,000kg Gula, Tahan Empat Anak Kapal Warga Asing

PULAU PINANG, 6 April (Bernama) -- Polis Marin Wilayah Utara merampas 2,399 beg guni gula pasir gula seberat 119,950 kg setelah menahan sebuah bot dagang Indonesia di Dermaga Prai di sini.

Gula keluaran Padang Terap bernilai hampir RM200,000 itu dipercayai hendak diekpsort secara haram ke Indonesia menerusi jalan laut.

Ketua Polis Marin Cawangan Wilayah Utara ACP Zainul Abidin Hasan berkata hasil maklumat risikan, sepasukan enam anggota polis dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) menahan bot KM Mutiara Timur itu yang berlabuh di Dermaga Prai di sini.

Hasil pemeriksaan, polis menemui 2,399 beg guni gula pasir yang setiap satunya seberat 50 kg, yang dipercayai hendak dieksport ke Acheh, Indonesia, dalam bot itu, katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata siasatan mendapati pengusaha bot itu mempunyai dokumen kastam yang lengkap, namun barangan itu dirampas memandangkan gula ialah barangan kawalan dan tidak boleh dieksport.

Zainul Abidin berkata setiap satu guni gula itu dipercayai dijual pada harga RM85 atau RM1.70 sen sekilo.

Katanya polis masih menyiasat dakwaan tekong bot itu kononnya barangan kawalan itu dieksport tanpa ejen tempatan.

Ekoran itu, polis menahan keempat-empat anak kapal warga asing itu untuk siasatan dan kes itu diserahkan kepada KPDN&HEP untuk didakwa mengikut Seksyen 16 Akta Kawalan Bekalan dan Peraturan 13 akta yang sama.

-- BERNAMA