Putrajaya Jadi Tumpuan Berikutan Jualan Lelong Kastam

PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Putrajaya hari Isnin menjadi tumpuan orang ramai berikutan jualan lelong barangan rampasan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di ibu pejabatnya di sini.

Jualan lelong hari ini diadakan sempena Hari Kastam Sedunia Kali Ke-24, dan ia diadakan setiap tahun sejak tiga tahun lepas.

Barangan yang dijual ialah telefon bimbit, basikal, beras, gula dan kain batik. Ia merupakan barangan yang telah dilucuthak atau yang telah selesai kesnya di mahkamah.

Ribuan orang berkumpul di perkarangan ibu pejabat Kastam sejak awal pagi bagi mendapatkan barangan tersebut yang dijual dengan harga murah.

Telefon bimbit dijual daripada harga RM20 hingga RM50, basikal (untuk orang dewasa) RM50, beras (10kg) RM5, gula (2kg) RM1 dan kain batik RM5.

Tinjauan Bernama di pusat jualan tersebut mendapati orang ramai beratur panjang di kaunter jualan barangan tersebut sehingga berlaku insiden tolak-menolak apabila jualan bermula.

Bagaimanapun, tindakan pantas pegawai Kastam yang menghentikan seketika jualan itu telah dapat meredakan keadaan.

Kaunter jualan barangan yang menjadi tumpuan utama ialah telefon bimbit dan basikal.

-- BERNAMA