Ikan Mulut Buaya Spesies Ikan Air Tawar - Tumec

KUALA TERENGGANU, 28 Jan (Bernama) -- Ikan mulut buaya (Alligator Fish) yang ditemui di Jitra, Kedah baru-baru ini adalah jenis ikan air tawar dan dikategorikan sebagai ikan asing, kata Ketua Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) Kamaruddin Ibrahim.

Beliau berkata spesies ikan itu tidak ada di Malaysia dan ikan itu dipercayai dibawa masuk ke negara ini semasa kecil untuk dijadikan sebagai ikan hiasan.

"Kita percaya ikan itu dibawa masuk ke negara ini sebagai ikan hiasan dan mungkin ikan itu terlepas ataupun dilepaskan oleh pemiliknya setelah ia besar," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari Sabtu.

Seorang penanam padi Abdul Razak Zain, 33, dari Kampung Pasir Mukim Naga, Kepala Batas dekat Jitra Kedah telah menjumpai seekor ikan berkepala buaya seberat 5kg dalam bendang padi pada Jumaat minggu lepas.

Bagaimanapun, Abdul Razak telah menjual ikan berkenaan kepada seorang peniaga dari Kuala Lumpur dengan harga RM6,000 dua hari kemudian.

Kamaruddin berkata spesies ikan mulut buaya banyak terdapat di kawasan Tenggara Amerika.

Katanya berdasarkan gambar ikan itu yang disiarkan dalam akhbar, ia masih anak lagi kerana mengikut rekod, ikan mulut buaya boleh membesar sehingga tiga meter panjang.

Beliau berkata ikan tersebut boleh membahayakan manusia kerana ia merupakan sejenis ikan pemaging (makan daging).

"Kita nasihatkan penduduk di situ, terutamanya penanam padi supaya berhati-hati kerana kita bimbang bukan seekor sahaja ikan jenis itu dilepaskan di kawasan berkenaan," katanya.

Kamaruddin berkata ikan mulut buaya tidak sesuai dilepaskan sama ada di laut, sungai, tasik ataupun sawah padi kerana ia boleh merosakkan ekosistem air.

Beliau berkata Tumec yang sebelum ini merancang untuk menghantar pegawai untuk membuat kajian mengenai ikan berkenaan terpaksa membatalkan hasrat itu kerana ikan itu telah dijual.

"Saya juga memohon kerjasama orang ramai yang menyimpan ikan berkenaan supaya berhubung dengan Jabatan Perikanan berdekatan untuk mendapat pandangan jabatan berhubung ikan tersebut," katanya.

-- BERNAMA