PEMERIKSAAN…Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (tengah) diberi penerangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM Salamat Wahid (kanan) mengenai kenderaan awam yang telah diubahsuai. Foto: Zid Omar

SMS Untuk Semak Kenderaan Disenaraihitam Puspakom

JOHOR BAHARU, 19 Jan (Bernama) -- Orang ramai mulai hari Khamis boleh membuat semakan senarai hitam kenderaan dan status pemeriksaan kenderaan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn Bhd (Puspakom) melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Perkhidmatan yang baru diperkenalkan oleh Puspakom itu akan mengenakan caj RM1.50 bagi semakan senarai hitam kenderaan dan 50 sen bagi semakan status pemeriksaan kenderaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Tengku Azlan Sultan Abu Bakar berkata langkah Puspakom memperkenalkan perkhidmatan itu adalah bagi membolehkan orang ramai mengesan kedudukan kenderaan mereka atau kenderaan yang ingin mereka beli tanpa rasa ragu-ragu.

Untuk semakan senarai hitam kenderaan orang ramai dikehendaki menaip BLR (jarak) nombor pendaftaran kenderaan atau taip BLC (jarak) nombor casis dan hantar ke nombor 33733 manakala bagi status pemeriksaan kenderaan, taip INR (jarak) nombor pendaftaran kenderaan atau taip INC (jarak) nombor casis dan hantar ke nombor yang sama, katanya.

Daripada 300,000 kenderaan yang diperiksa di bawah Skim Pemeriksaan Kenderaan Syarikat Kewangan, sebanyak 4,000 kenderaan telah disenaraihitamkan. katanya semasa merasmikan bangunan Puspakom Cawangan Skudai hari Khamis.

Selain itu, beliau berkata Puspakom bercadang membuka sebanyak 66 buah cawangan lagi di seluruh negara tahun ini dengan kapasiti 10 juta pemeriksaan kenderaan bagi menampung keperluan pemeriksaan kenderaan di seluruh negara.

Pada masa ini terdapat 56 buah pusat pemeriksaan di seluruh negara termasuk empat di Johor iaitu di Taman Daya, Skudai, Muar dan Kluang.

-- BERNAMA