Kadar Baru Cukai Tanah Di Kuala Lumpur Berkuatkuasa 1 Jan

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Kadar baru cukai tanah bagi semua jenis dan kategori tanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah berkuatkuasa 1 Jan lepas, kata Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Abd Nasir Hassan.

Oleh itu, katanya, pemilik tanah perlu menjelaskan cukai baru itu sebelum 31 Mei ini kerana sekiranya bayaran dibuat selepas tarikh tersebut, denda kelewatan sebanyak 10 peratus akan dikenakan.

Pemilik tanah boleh mendapat maklumat mengenai cukai baru itu melalui bil cukai tanah yang telah dihantar kepada mereka dan semakan lanjut ke atas kadar tersebut boleh dibuat di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan di sini, katanya dalam satu kenyataan Isnin.

Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan baru-baru ini mengumumkan kadar kenaikan cukai tanah sebagai 10 peratus di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Seksyen 101 Kanun Tanah Negara 1965 memperuntukkan pihak berkuasa kerajaan negeri membuat semakan ke atas kadar cukai tanah bagi tempoh setiap 10 tahun.

Abd Nasir berkata sebarang pertanyaan mengenai cukai baru itu boleh dibuat melalui talian 03-26931230 atau 03-26932003.

-- BERNAMA