Pengguna Khuatir Dengan Makanan Diubah Suai Genetik

PETALING JAYA, 28 Sept (Bernama) -- Industri pertanian patut mengambil kesempatan daripada keadaan berkaitan ketidak senangan pengguna sekarang terhadap pengeluaran makanan yang diubah suai secara genetik (GM), terutamanya di Asia Barat dan Afrika Utara.

Satu kajiselidik yang dilaksanakan dalam tempoh 2003 dan 2004 menunjukkan bahawa orang ramai di kedua-dua rantau itu membantah dengan keras makanan GM.

Kajiselidik itu dijalankan di Mesir dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) ke atas 1,000 peserta, yang mewakili rantau-rantau Afrika Utara dan Asia Barat.

Soalselidik kajian itu membabitkan soalan-soalan mengenai kesedaran dan pengetahuan makanan diubahsuai secara genetik, kesanggupan untuk mengguna dan kesanggupan untuk membayar bagi mengelakkan makanan GM.

Minyak sawit adalah bebas GM, tetapi kebanyakan tanaman minyak lain seperti kacang soya, jagung dan kapas adalah minyak-minyak makanan GM.

Hasil-hasil kajiselidik itu disusun dalam agenda Kongres Minyak Sawit Antarabangsa 2005 bagi pertanian, bioteknologi dan kemapanan, yang merupakan satu daripada lima persidangan kecil yang sedang diadakan di sini hari ini.

Kaedah-kaedah kajiselidik, kesimpulan dan perakuan-perakuan dikemukakan oleh dua orang penyelidik daripada Fakulti Pertanian, Cairo University, Giza, Mesir. Mereka adalah Ahmed A. Eiobeidy daripada Jabatan Hortikultur Buah-buahan dan Sherein A. Abou Dawood daripada Jabatan Sains dan Teknologi Tenusu.

Menurut kajiselidik itu, kebanyakan pengguna percaya bahawa mereka menggunakan makanan GM.

Ia berkata bahawa memandangkan kebanyakan negara di Timur Tengah dan Afrika Utara sebahagian besarnya menggunakan makanan diimport, adalah sukar mengelakkan mengimport produk-produk makanan GM.

"Dengan itu, mewujudkan peraturan-peraturan bagi makanan GM boleh mengurangkan kebimbangan makanan di kawasan itu," kajiselidik itu berkata di dalam perakuan-perakuannya.

"Selanjutnya, peranan agensi-agensi pemeriksa makanan patut dipertingkatkan. Di samping itu, maklumat yang boleh disahkan mengenai makanan GM patut disebarkan untuk mengurangkan kesan maklumat antibiotek yang negatif yang tidak wajar diedarkan oleh pengguna dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di Eropah," katanya.

Kajiselidik itu juga berkata komunikasi telus oleh pembuat-pembuat dasar dan pemegang-pemegang saham adalah penting bagi menangani kebimbangan pengguna terhadap keselamatan makanan GM.

"Sistem pelabelan mandatori patut dipertimbangkan. Label-label harus bergantung kepada kepastian identiti ramuan itu. Keupayaan sebenar rangkaian bekalan untuk mengadakan kewibawaan bertahap tinggi dalam proses pengasingan akan meningkatkan kepercayaan terhadap sistem pelabelan," tambahnya.

-- BERNAMA