Penggunaan NGV: Reaksi Berbeza Antara Negeri

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Beberapa negeri menyatakan kesediaan menggunakan gas asli (NGV) untuk kenderaan rasmi kerajaan, khususnya yang digunakan oleh anggota Exco kerajaan, sebagai mencontohi langkah yang bakal diambil oleh Johor dan Perlis.

Bagaimanapun terdapat juga beberapa negeri yang belum membuat sebarang pendirian atau masih dalam peringkat menimbang untuk membincangkan penggunaan bahan bakar mesra alam itu.

Di KOTA KINABALU, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin berkata kerajaan negeri itu sedia mengkaji kesesuaian penggunaan NGV untuk kereta kerajaan khususnya kereta anggota kabinet negeri.

Beliau bagaimanapun berkata perkara itu perlu dibincangkan pada mesyuarat kabinet negeri sebelum ketetapan dibuat.

"Cadangan itu memang baik kalau ia menjimatkan kos. Apa sahaja yang baik dan murah kita pertimbangkan," katanya.

Di IPOH, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Usahawan negeri Perak Datuk Ramly Zahari berkata kerajaan negeri sedia menggunakan NGV untuk semua kenderaan milik kerajaan negeri dengan syarat kemudahan berkenaan disediakan dengan meluas di negeri itu.

"Tidak ada masalah untuk kita menggunakan bahan itu jika kemudahan stesen NGV terdapat di sini. Yang penting stesen-stesen NGV perlu disediakan," katanya.

Di SHAH ALAM, Timbalan Setiausaha Kerajaan Selangor (Pembangunan), Datuk Ishak Ahmad berkata kerajaan negeri itu akan mengadakan perbincangan mendalam sebelum membuat sebarang keputusan berhubung penggunaan NGV.

Katanya selain merujuk terlebih dahulu kepada polisi kerajaan Persekutuan, beberapa pertimbangan lain perlu diambilkira termasuk keselamatan dan perkhidmatan baik pulih kenderaan yang menggunakannya.

Di ALOR STAR, Pemangku Menteri Besar Datuk Mahdzir Khalid berkata kerajaan negeri akan hanya membuat keputusan berhubung perkara itu apabila Petronas menubuhkan stesen NGV yang mencukupi di negeri itu.

Katanya adalah tidak praktikal NGV digunakan untuk kereta anggota Exco sedangkan tidak ada satu pun stesen NGV di Kedah ketika ini walaupun bahan bakar itu terbukti mampu mengurangkan kos dan pencemaran udara berbanding petrol.

Di KOTA BAHARU, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata pihaknya akan membincangkan cadangan menggunakan NGV untuk kenderaan kerajaan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri Rabu.

Katanya kerajaan negeri sememangnya lebih cenderung dengan kaedah yang mampu mengurangkan kos dan pencemaran udara, tetapi tetapi aspek kos mengubahsuai kenderaan yang akan menggunakan NGV juga perlu diambil kira.

Di KUANTAN, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata setakat ini kerajaan negeri belum bercadang menggunakan NGV untuk kenderaan rasminya kerana belum ada stesen minyak di negeri itu yang membekalkan bahan tersebut.

Katanya kerajaan negeri hanya boleh menimbang penggunaan bahan itu setelah wujud empat atau lima buah stesen yang membekalkan bahan itu di Pahang.

Malah kata Adnan bilangan stesen NGV yang hendak diwujudkan perlu sesuai dan memenuhi keperluan pengguna bagi mengelak situasi pengguna terpaksa menunggu dalam barisan panjang untuk mengisi kenderaan mereka dengan NGV.

Di SEREMBAN, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan sependirian dengan Adnan bahawa cadangan penggunaan NGV belum boleh dipertimbangkan kerana sehingga ini belum ada stesen minyak di negeri itu yang membekalkan bahan tersebut.

"Apa yang penting mesti ada terlebih dahulu stesen-stesen minyak yang menjual NGV di seluruh negeri termasuk di bandar-bandar kecil," katanya.

Katanya beliau tidak mahu anggota Exconya terpaksa menunggu berjam-jam di stesen minyak untuk mendapat bekalan bahan itu.

Di KUALA TERENGGANU, Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh berkata kerajaan Terengganu tidak bercadang mengikut langkah Johor dan Perlis menggunakan gas asli sebagai bahan api alternatif untuk kenderaan milik kerajaan negeri.

Katanya banyak faktor perlu diambilkira sekiranya kerajaan negeri menggunakan NGV kerana seperti di kebanyakan negeri lain, Terengganu juga belum mempunyai stesen minyak yang membekalkan bahan itu.

Sambil mengaitkan isu penggunaan NGV dengan kenaikan harga petrol, Idris berkata; "Kita tidak perlu memberikan reaksi spontan tetapi kita perlu memantau dan melihat perkembangannya dahulu.

"Tidak mustahil apabila kita sudah tukar kepada penggunaan NGV, tiba-tiba sahaja harga minyak jatuh, hendak tukar lagi selepas itu...ini kan menyusahkan," katanya

Di KUCHING, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata sehingga ini kerajaan negeri berpendirian tidak perlu membincangkan sama ada hendak menukar penggunaan petrol dan diesel kepada NGV bagi kenderaan kerajaan.

-- BERNAMA