PENGGUNA BIJAKÂ… Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Pengguna memperkenalkan konsep Pengguna Bijak bertujuan mewujudkan masyarakat pengguna bermaklumat, proaktif, progresif dan bertanggungjawab. Sejajar dengan konsep itu, kementerian berkenaan menganjurkan kempen Beli Barangan Harga Rendah yang merupakan gabungan kerjasama dengan pasara raya gedung dan kompleks beli-belah di seluruh negara. Foto: Shahrizan Jeffri Aziz

Pengguna, Peniaga Manfaatkan Kempen Beli Barangan Harga Rendah

Oleh Rosliwaty Ramly

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Pengguna dan peniaga ibarat aur dengan tebing, saling memerlukan antara satu sama lain.

Penawaran dalam pasaran yang dihasilkan peniaga tidak memberi makna tanpa permintaan daripada pengguna. Begitu juga sebaliknya.

Hubungan simbiotik ini memerlukan kedua-dua pihak memenuhi tanggungjawab masing-masing untuk memastikan hak mereka terpelihara.

Peniaga wajar sedar akan peranannya sebagai pelaksana tanggungjawab sosial kepada pengguna dengan sentiasa memastikan barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan memberi manfaat kepada pengguna.

Dalam urus niaga, peniaga harus sentiasa bersikap sederhana ketika menetapkan kadar keuntungan terhadap pengguna.

Dewasa ini sering kita lihat dan dengar senario peniaga terbabit dalam kes penipuan dan penyelewengan. Biasanya kes-kes itu melibatkan mereka yang mengabaikan amalan beretika dalam perniagaan.

Dalam hal ini peniaga perlu berfikir panjang kerana bagi pengguna, sekali ditipu atau dianiaya, mereka akan ingat buat selama-lamanya.

HAK PENGGUNA

Bagi pengguna pula, mereka perlu ingat bahawa kuasa berbelanja berada di tangan mereka dan jika mereka bijak membuat pilihan, mereka akan dapat membeli barangan atau perkhidmatan yang terbaik walaupun dengan wang yang sedikit.

Pengguna perlu bijak membuat pertimbangan kerana barangan yang hendak dibeli itu mestilah seimbang dengan nilai wang yang dibayar. Jangan sesekali membeli secara melulu. Seelok-eloknya pertimbangkan segala pembelian hanya bila ia diperlukan dan mampu dibeli.

Menyedari pentingnya peranan peniaga dan pengguna dalam pembangunan ekonomi negara, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berusaha memartabatkan hak dan kepentingan kedua-dua golongan itu.

Paling terkini ialah memperkenalkan konsep "Pengguna Bijak", bertujuan mewujudkan masyarakat pengguna bermaklumat, proaktif, progresif dan bertanggungjawab.

Konsep ini juga diharapkan dapat melahirkan pengguna berhemah dan hemat berbelanja selain arif mengenai hak-hak kepenggunaan.

Sejajar dengan konsep "Pengguna Bijak", KPDNHEP turut menganjurkan kempen "Beli Barangan Harga Rendah" yang merupakan gabungan kerjasama dengan pasar raya gedung dan kompleks membeli-belah di seluruh negara.

KEMPEN

Melalui kempen ini, barang-barang dijual dengan harga yang rendah bagi membolehkan pengguna merancang perbelanjaan dan hanya membeli barangan di premis yang menawarkan harga yang rendah dan berpatutan.

Antara premis perniagaan yang menawarkan barangan dengan harga yang rendah ialah Watson, Giant, Carrefour, Fajar dan beberapa rangkaian restoran yang menjadi ahli Persatuan Restoran India-Muslim di seluruh negara.

Selain menawarkan barangan dengan harga yang rendah, premis-premis perniagaan ini juga menyediakan persekitaran perniagaan yang selesa, tanda harga dan peragaan barangan yang sesuai serta mengutamakan barangan buatan Malaysia.

Bagaimanapun, kempen ini tidak termasuk dalam konteks jualan murah. Oleh itu, pihak pasar raya gedung dan kompleks membeli-belah ini tidak perlu menghantar notis untuk memberikan potongan harga seperti mana syarat yang dikenakan bagi mengadakan jualan murah.

Kempen ini juga mensasarkan golongan peniaga di pasar basah, pasar tani, peniaga runcit dan sebagainya untuk membolehkan mereka supaya turut menawarkan harga yang berpatutan kepada pengguna.

Untuk menjayakan konsep "Penguna Bijak" dan kempen "Beli Barangan Harga Rendah" ini, sebaran dan maklumat mengenainya dibuat secara berterusan melalui radio, akhbar dan televisyen agar mesej yang hendak disampaikan dapat diterima dan difahami pengguna.

Poster dan risalah kempen juga akan diedarkan di seluruh negara sama ada melalui pejabat-pejabat kementerian di negeri dan daerah serta di pusat-pusat yang menjadi tumpuan awam.

SESI PENERANGAN

Di samping itu, KPDNHEP turut bekerjasama dengan stesen radio dan televisyen bagi mengadakan sesi penerangan melalui rancangan yang sesuai.

Kepada pengguna, mereka mempunyai banyak pilihan barangan yang berkualiti dengan harga berpatutan. Peniaga pula dapat memasarkan barangan mereka dengan lebih meluas lagi.

Justeru, kempen ini diharapkan dapat mencapai sasarannya iaitu mendidik pengguna supaya menjadi lebih bijak, berilmu dan mampu membuat keputusan yang tepat selain arif mengenai hak dan tanggungjawab mereka.

Selain pemupukan budaya bermaklumat dan proaktif di kalangan pengguna dan sikap bertanggungjawab di kalangan peniaga, amalan etika bertahap tinggi bagi mereka yang terlibat dalam pengeluaran dan pengedaran barangan serta perkhidmatan pengguna juga digalakkan.

Amalan etika merujuk kepada sikap berhemah di kalangan pengguna dan beretika di kalangan peniaga yang merupakan gabungan toleransi dan aspek penting selaras dengan matlamat Dasar Negara iaitu membangunkan masyarakat bermaklumat, bermoral, berhemah, berilmu, kreatif dan bersatu padu.

Memetik ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyebut bahawa pengguna yang bermaklumat berupaya mewujudkan satu sistem "saling mengawasi" (check and balance) bagi memerangi sikap peniaga yang rakus dan tidak beretika.

Peniaga tidak beretika adalah peniaga yang tidak mengamalkan prinsip kemanusiaan seperti murah hati, bertimbang rasa dan saling menghormati.

RUKUN NIAGA

Menyedari pentingnya penerapan amalan peniaga beretika dalam masyarakat peniaga hari ini, satu kod etika amalan perniagaan dikenali sebagai Rukun Niaga Malaysia diumumkan KPDNHEP pada 15 Januari 2002.

Kod etika yang mengandungi enam prinsip utama itu menggariskan ciri-ciri amalan peniaga beretika yang perlu dimiliki setiap peniaga dan diharapkan dapat membendung gejala penyelewengan dan penipuan di kalangan peniaga.

Antara prinsip Rukun Niaga itu ialah berlaku benar dalam amalan perniagaan, bertanggungjawab kepada pelanggan dan berperikemanusiaan kepada sesama manusia.

Harus diingat bahawa sikap pengguna yang sentiasa berwaspada terhadap pembelian barangan dan perkhidmatan yang digunakan serta peniaga yang melayani pelanggannya dengan baik, sebenarnya mewujudkan suasana pasaran yang harmoni.

Pendek kata, kepenggunaan diwujudkan tidak hanya untuk membanteras kenaikan harga yang tidak berpatutan dan memastikan keluaran barangan bermutu atau mengikis amalan perniagaan tidak beretika malah ia juga adalah untuk membentuk masyarakat penyayang.

Konsep masyarakat penyayang akan benar-benar menjadi kenyataan dengan wujudnya kempen seperti ini --- kempen "Beli Barangan Harga Rendah" dan kempen-kempen lain yang juga bermatlamat untuk mewujudkan suasana harmoni dan kesejahteraan antara pengguna dan peniaga.

-- BERNAMA