Program Ramalan dan Amaran Banjir dijangka siap 2022

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang berupaya meramal banjir di 70 peratus kawasan lembangan sungai di seluruh negara dijangka siap sepenuhnya menjelang 2022.

Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata program itu dibangunkan menerusi tiga fasa bermula 2015 yang lalu membabitkan 40 lembangan sungai utama dengan kos RM550 juta.

"Fasa pertama 2015 hingga 2017 untuk lembangan Sungai Pahang, Sungai Kelantan dan Sungai Terengganu, fasa kedua dilaksanakan bagi tmepoh 2018 hingga 2020 untuk 20 lembangan sungai dan fasa ketiga dijangka dilaksanakan pada 2021 hingga 2022 untuk lapan lembangan sungai," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang ingin tahu fungsi dan matlamat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) yang telah dirasmikan pada 20 Mac lalu.

Wan Junaidi berkata PRABN secara khususnya berfungsi menyasarkan beberapa perkara antaranya menganalisa dan membuat ramalan banjir dan membekalkan maklumat banjir kepada agensi-agensi berkaitan.

-- BERNAMA