:: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan




Lazada e-dagang paling banyak dilawati, Shopee jadi aplikasi mudah alih terbaik 2017

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Platform e-dagang Lazada menyaksikan peningkatan sebanyak 13.8 juta pelawat bulanan purata antara suku tahun ketiga dan keempat 2017.

Satu kajian oleh iPrice Group melaporkan, peningkatan itu memberikan jurang antara Lazada dengan pesaing terdekatnya iaitu 11street (peningkatan 5.9 juta pelawat purata) dan Shopee (peningkatan 5.3 juta pelawat purata).

"Lazada, e-dagang yang disokong oleh Alibaba dijangka akan terus berkembang memandangkan minat pelabur dari negara Cina untuk terus melabur sebanyak US$2 bilion (RM7.83 bilion) dengan Lazada," kata iPrice dalam satu kenyataan hari ini.

Shopee pula, melihat pertumbuhan mengagumkan memandangkan ia menggantikan Lelong sebagai e-dagang ketiga yang paling banyak dilawati pada suku keempat 2017.

Ini tidak lama selepas syarikat induknya Sea Limited (Sea) memperoleh pembiayaan US$550 juta (RM2.1 bilion) pada September 2017 dan menggunakan kebanyakan dananya untuk membangunkan Shopee.

Sejak pelancarannya pada tahun 2015, Shopee menjadi platform mudah alih pertama dengan diikuti oleh Lazada, 11street, Zalora dan Lelong.

Kedudukan aplikasi beli-belah mudah alih itu berdasarkan bilangan muat turun tertinggi, aktiviti penggunaan aplikasi terbanyak, jumlah belian melalui aplikasi serta penilaian pengguna.

Sebanyak 50 e-degang teratas di Malaysia juga mengalami peningkatan trafik 30 peratus dalam talian disebabkan jualan akhir tahun.

"Antara tempoh jualan dalam talian yang paling popular ialah #MYCyberSale (9-13 Okt), 11.11 Sale (juga dikenali sebagai 'Singles Day' pada 11 Nov), Black Friday (24 Nov) dan 12.12 Sale (12 Dis)," katanya.

iPrice juga berkata, lima platform e-dagang teratas di Malaysia Lazada, 11street, Shopee, Lelong dan Zalora mencipta lebih 1,000 pekerjaan.

-- BERNAMA