Sumber gambar: matrade.gov.my

Top Glove melabur dalam infrastruktur air supaya bekalan lebih baik

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Bimbang terhadap ketidaktentuan berterusan dalam bekalan air, memaksa pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia, Top Glove Corporation Bhd, membuat pelaburan dalam infrastruktur air bagi memastikan bekalan berterusan dan tidak menjejaskan pengeluaran syarikat itu.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Lim Wee Chai berkata syarikat itu telah melabur sebanyak RM15 juta dalam infrastruktur dan kelengkapan loji dan kolam rawatan air berbalik, yang baru siap di Selangor.

"Kami tidak mahu bergantung kepada bekalan air yang disediakan oleh kerajaan. Kami tidak mempunyai pilihan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kedudukan (bekalan air) mendorong syarikat itu supaya sentiasa berada dalam kedudukan yang 'lebih baik' tanpa operasi tertangguh akibat gangguan bekalan air atau elektrik.

"Jika tidak mempunyai infrastruktur seperti ini, kami tidak akan dapat memenuhi pesanan dan mungkin kehilangan pelanggan dalam jangka panjang," katanya.

Lim berkata dengan memiliki loji rawatan sebagai pelan kontingensi bagi menangani gangguan air, jumlah pengeluaran dan produktiviti Top Glove tidak terjejas oleh gangguan bekalan air di Lembah Klang minggu lepas.

"Kami tidak mengalami gangguan, semua pengeluaran berjalan seperti biasa. Kami mesti bersedia untuk menghadapi isu ini, "katanya.

Minggu lepas, beberapa kawasan di Lembah Klang menghadapi gangguan bekalan air sehingga empat hari disebabkan kerja-kerja pembaikan kecemasan akibat kerosakan sistem di loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 3 yang mengakibatkan penutupan loji secara keseluruhan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif syarikat itu, Lim Cheong Guan berkata loji rawatan air itu beroperasi sejak dua bulan lepas, dan mencukupi untuk membekalkan dua kilang Top Glove.

"Kami bermula pada skala yang lebih kecil, dan jika ini (operasi loji) berjaya, kami merancang untuk melaksanakannya di kilang-kilang lain. Sekurang-kurangnya, bekalan kami mencukupi dan tidak perlu bergantung pada air paip," katanya.

Top Glove mencatatkan keuntungan dan pendapatan bersih yang lebih tinggi, masing-masing sebanyak RM109.99 juta dan RM958.44 juta bagi suku kedua berakhir 28 Feb, 2018, susulan pertumbuhan jumlah jualan yang ketara dan permintaan yang lebih kukuh.

Kumpulan itu akan meneruskan pengembangan strategik secara organik dan bukan organik.

"Kami dalam proses membina dua kemudahan kilang baharu - Factory 31 dan Factory 32 yang akan beroperasi pada Jun 2018 dan awal tahun 2019,. Apabila siap dan beroperasi, ia akan meningkatkan jumlah pengeluaran Top Glove sebanyak 78 baris dan kapasiti pengeluaran sebanyak 7.8 bilion sarung tangan setahun," kata Top Glove.

-- BERNAMA