Pos Malaysia keluar koleksi setem bertemakan kereta api

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan koleksi setem terbaharu yang menampilkan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad.

Ketua Unit Setem dan Filateli, Pos dan Kurier Pos Malaysia, Diyana Lean Abdullah berkata koleksi setem tersebut akan mula dipasarkan di pejabat pos seluruh negara bermula 20 Mac ini.

"Koleksi setem ini didatangkan dengan tiga reka bentuk setem yang mana dua daripadanya adalah setem 60 sen yang menampilkan ilustrasi lokomotif ETS Class 91 dan Class 92, manakala setem 80 sen memaparkan lokomotif ETS Class 93," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, produk filateli lain termasuk Sampul Surat Hari Pertama (FDC) bersama brosur, Lembaran Mini dan Folder.

Diyana berkata Pos Malaysia hanya akan mencetak 200,000 keping untuk setiap reka bentuk setem, 28,000 helai FDC, 30,000 keping Lembaran Mini dan 1,800 keping folder.

Beliau berkata Lembaran Mini boleh dibeli pada harga RM6.35 setiap satu, manakala FDC dengan brosur percuma boleh didapatkan dengan harga 55 sen setiap satu.

"Folder pula boleh didapati dengan harga RM6.35 setiap satu, manakala set folder lengkap boleh diperoleh dengan harga RM64.65 setiap satu.

"Semua harga yang disebutkan adalah termasuk GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan)," tambahnya.

Diyana berkata menariknya tentang koleksi setem berkenaan adalah Lembaran Mini dicetak dalam bentuk lokomotif daripada pandangan sisi dengan ciri istimewa seperti tebukan bentuk khas, potongan terap dan teknik percetakan yang dikenali sebagai 'spot varnish' di kawasan terpilih.

Katanya tanda pembatalan juga turut menampilkan profil sisi ikon ETS iaitu lokomotif ETS Class 93.

-- BERNAMA