Tiada cadangan untuk tetap harga lantai getah RM3 sekilogram

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Kerajaan tidak bercadang untuk menetapkan harga lantai getah kepada RM3 sekilogram kerana ia akan memberi impak kewangan yang besar kepada kerajaan termasuk mengeluarkan peruntukan tambahan RM1.29 bilion setiap tahun bagi tujuan itu jika dilaksanakan.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata penetapan harga lantai untuk komoditi itu memerlukan sumber kewangan yang tinggi bagi menyokongnya, sekiranya harga getah dunia mengalami trend penurunan mendadak.

"Harga lantai yang tinggi juga akan menyediakan ruang kepada aktiviti spekulasi harga di mana para pedagang getah akan menekan harga ke paras rendah dengan mengambil kira bahawa kerajaan akan menampung perbezaan di antara harga pasaran dan harga lantai.

"Ia juga akan menyediakan ruang kepada aktiviti penyeludupan getah ke luar negara memandang harga getah tempatan mungkin lebih tinggi berbanding harga antarabangsa," katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang ingin tahu bila kerajaan akan memperkenalkan harga lantai getah agar penoreh dan pengusaha industri itu dapat bersedia.

-- BERNAMA