Gambar fail

Mara Digital Mall catat jualan RM37.7 juta setakat Januari

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Mara Digital Mall mencatat jumlah jualan sebanyak RM37.7 juta setakat Januari tahun ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi berkata sejak ditubuhkan pada Disember 2015, pasar raya digital itu turut menyaksikan rekod pengunjung seramai 2 juta orang.

Beliau berkata sebanyak 109 lot jualan juga telah dimanfaatkan oleh 89 usahawan di Mara Digital Mall di seluruh negara.

"Ini merupakan satu kejayaan besar bagi kita terutamanya untuk usahawan Bumiputera dalam bidang perniagaan digital, di samping melahirkan lebih banyak usahawan-usahawan muda daripada kumpulan itu," katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Besar) yang ingin tahu sejauh manakah prestasi perniagaan di Mara Digital Mall dan jumlah keseluruhan peniaga yang telah beroperasi di pasar raya itu.

Sementara itu, Alexander menambah sehingga kini terdapat empat Mara Digital iaitu Mara Digital Menara Mara, Kuala Lumpur; Mara Digital Anggerik Mall, Shah Alam, Selangor; Mara Digital Ipoh, Perak dan Mara Digital Kuantan, Pahang.

Katanya kementerian bercadang mewujudkan Mara Digital di setiap negeri dan pada masa ini Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah mengenal pasti beberapa kawasan strategik di seluruh negara.

-- BERNAMA