Perodua akan penuhi tempahan Myvi baharu untuk Hari Raya

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Pelanggan yang menempah kereta Myvi baharu dijangka menerima kenderaan masing-masing tepat pasa masanya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, kata Perodua Sales Sdn Bhd.

Pengarah Urusannya Datuk Dr Zahari Husin berkata setakat ini pembuat kereta kompak itu sudah menyerahkan 28,000 unit Myvi - memenuhi hampir separuh daripada 60,000 tempahan yang diterima.

"Kami berterima kasih kepada pelanggan dan masyarakat Malaysia yang menyokong kukuh Myvi, dan kami akan terus menyerahkan mengikut tempoh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan sokongan kukuh ke atas tawaran terbaharu Perodua itu selain permintaan yang sihat ke atas model lain, pembuat kereta itu menganggarkan penguasaan pasaran bagi bulan Februari melepasi 41 peratus, setelah menjual 17,100 kenderaan - 6,500 Myvi, 5,000 Axia, 3,700 Bezza dan 1,900 Alza.

Pada asas tahunan, prestasi jualan Perodua meningkat 13.1 peratus kepada 34,800 unit berbanding 30,800 kenderaan yang dijual dalam tempoh dua bulan pertama pada 2017.

Perodua menyasarkan menjual 209,000 unit tahun ini atau peningkatan dua peratus berbanding 204,900 unit yang dijual pada 2017.

-- BERNAMA