:: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan




Jual Adidas Tiruan Secara Dalam Talian

KUALA TERENGGANU, 13 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu membongkar dan mematahkan penipuan perniagaan secara dalam talian membabitkan barangan jenama Adidas.

Pengarahnya Saharuddin Mad Kia berkata operasi tersebut dilakukan semalam hasil maklumat orang awam yang telah tertipu apabila membuat pembelian dua pasang selipar berjenama Adidas dengan harga RM80 sepasang.

"Tidak puas hati dengan barang yang dibeli itu yang dikatakan tidak bermutu, mereka kemudiannya membuat aduan kepada KPDNKK.

"Pegawai kita di bawah pasukan siber telah mengambil masa seminggu untuk membuat risikan sebelum bertindak dengan mengenal pasti modus operandi yang digunakan termasuk meneliti laman Facebook, akaun bank, nombor telefon bimbit pemilik dan sebagainya," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.

Saharuddin berkata premis perniagaan suspek dikesan beroperasi di Dataran Austin, Gong Badak dan disyaki telah menjalankan perniagaan itu selama empat tahun dengan mengiklankan produk mereka melalui Facebook sebagai tulen dan berkualiti.

"Sebenarnya barang yang dijual itu adalah barang tiruan yang dibuat dari negara China dan bukan seperti dilabel dari Itali. Kira-kira 3.20 petang semalam, kami merampas 339 pasang selipar dengan nilai sitaan RM27,120 daripada pemilik dan seorang pekerja yang berumur dalam lingkungan 30-an.

"Semasa serbuan, pemilik itu sendiri mengakui bahawa barang yang dijual bukan barang tulen. Berikutan itu, KPDNKK telah mengambil tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999," katanya.

Mengikut akta tersebut, setiap perniagaan secara dalam talian sepatutnya mematuhi kriteria iaitu mendedahkan nama mereka yang menjalankan perniagaan, nombor pendaftaran perniagaan, alamat e-mel, perihal ciri-ciri barang atau perkhidmatan dan harga penuh barang perkhidmatan.

Saharuddin berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan syarikat Adidas bagi mengesahkan barang yang dijual itu tulen atau palsu.

-- BERNAMA