UMNO Pengkalan Chepa Dan KPDNKK Kelantan Anjur Jualan Sentuhan Rakyat

KOTA BHARU, 11 Feb (Bernama) -- Program Jualan Sentuhan Rakyat anjuran UMNO Bahagian Pengkalan Chepa bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan memberi peluang kepada rakyat untuk membeli barangan keperluan harian pada harga lebih murah.

Kira-kira 5,000 orang mengambil peluang membeli pelbagai barangan seperti beras, bawang, minyak masak, ikan, daging, ayam dan sayur-sayuran pada program berkenaan yang bermula pukul 1 tengah hari di perkarangan Sekolah Kebangsaan Sering di sini, hari ini.

Turut terlibat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan sebuah pasar raya.

Ketua Bahagian UMNO Pengkalan Chepa Datuk Zalusi Sulaiman berkata program berkenaan yang akan dilaksanakan dari semasa ke semasa adalah inisiatif kerajaan Barisan Nasional yang sentiasa prihatin untuk membantu meringankan beban perbelanjaan rakyat.

"Ramai penduduk gembira dengan harga murah (berbanding dengan pasar raya dan kedai runcit) yang ditawarkan dan ramai yang membelinya dalam kuantiti yang banyak sehingga dapat membuat penjimatan antara RM50 dan RM100,"katanya kepada pemberita selepas merasmikan program berkenaan di sini.

Sementara itu, seorang pengunjung Masitah Ahmad, 50, berkata program itu tepat pada masanya bagi meringankan beban rakyat dalam mendapatkan barangan keperluan harian.

"Saya berterima kasih dengan program yang dijalankan ini dan berharap akan ada lagi program seumpama ini dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.

-- BERNAMA