Selepas Musang King, Giliran Manggis Pahang Tembusi Pasaran Antarabangsa

BENTONG, 12 Jan (Bernama) -- Jika sebelum ini durian Musang King dari Raub dan Bentong berjaya menembusi pasaran China, sehingga harganya melonjak di pasaran tempatan, kali ini giliran buah manggis pula dieksport sehingga menyebabkan permintaannya meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang, Datuk Seri Shafik Fauzan Shariff berkata buah manggis kini menjadi perhatian di kalangan penggemar buah tropika di China dan Eropah.

"Buah manggis yang dikeluarkan dari negara kita khususnya di Pahang mempunyai kualiti yang tinggi termasuk kurang penggunaan bahan kimia menyebabkan ia mendapat tempat di pasaran antarabangsa.

"Keadaan ini 'memaksa' ada pengeksport dari negara jiran turun ke daerah Bentong khususnya kawasan Telemong untuk memajak kebun manggis di kawasan ini dan dibawa balik untuk 'dibinkan' dengan nama negara mereka sebelum mengeksport ke dua negara berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perlepasan eksport manggis ke Eropah dan China selain menyaksikan perjanjian persefahaman antara syarikat pengeksport buah itu, DRS Trading Sdn Bhd dengan pengeluar-pengeluar manggis di daerah Bentong di Dewan Orang Ramai Telemong, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Syarikat DRS Trading Sdn Bhd, P Ravidran dan Pegawa Daerah Bentong Datuk Azhar Arshad

Shafik Fauzan berkata perjanjian itu ia dapat mengeratkan lagi kerjasama antara pengeksport dan pengeluar bagi meneroka pasaran baharu di peringkat antarabangsa selain boleh meningkatkan kefahaman pengeluar buah tempatan tentang keperluan semasa dalam mengeksport buah itu.

"Di pasaran Eropah sekarang harga sekilogram buah manggis yang mempunyai gred tinggi boleh mencecah sehingga RM35 sekilogram, manakala di negara China pula mencecah sehingga RM50 sekilogram.

"Keadaan ini membolehkan penanam-penanam manggis mendapat pendapatan yang tinggi namun mereka perlulah mengamalkan amalan pertanian yang baik bagi menghasilkan buah yang bermutu," katanya.

Mengikut rekod Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) buah tersebut telah mula dieskport ke Eropah dan China sejak 2016, namun hanya mendapat permintaan tinggi pada 2017.

Pada tahun lepas sahaja dianggarkan sebanyak 5,000 tan metrik buah manggis telah dieksport ke Eropah dengan nilai RM20 juta, manakala ke China pula adalah sebanyak 20,000 tan metrik dengan nilai RM200 juta dan ia hanya memenuhi satu peratus daripada permintaan di dua negara itu.

Di Pahang sahaja sahaja terdapat 404.3 hektar keluasan penanaman manggis, sementara di Bentong adalah sejumlah 58.7 hektar.

--BERNAMA