Polis Marin Rampas 146 Peket Rokok Seludup Bernilai RM13,888

JOHOR BAHRU, 12 Jan (Bernama) -- Polis marin merampas 146 peket pelbagai jenis rokok dipercayai rokok seludup bernilai RM13,888 di dalam sebuah stor kecil di Jalan Ciku, Ulu Tiram, di sini, malam tadi.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata anggotanya menemui sejumlah rokok pada kira-kira 10 malam tadi selepas membuat pemerhatian hampir satu jam terhadap stor berkenaan.

"Sepanjang pemerhatian, didapati tiada kehadiran suspek mengambil barang di dalam stor tersebut, lalu pihak kami menyerbu dan memecahkan kunci pintu stor dan menemui sejumlah kotak yang mengandungi pelbagai jenis rokok kretek dan rokok putih tidak sah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata semua barang tersebut dirampas dan dibawa ke pangkalan polis marin untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (e) Akta Kastam 1957.

-- BERNAMA