Pengeluaran Getah Asli Merosot 12.6 Peratus Pada November 2017

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Pengeluaran getah asli merosot 12.6 peratus pada November 2017 kepada 58,733 tan berbanding 67,403 tan pada bulan sebelumnya.

Menurut kenyataan Jabatan Perangkaan hari ini, sektor pekebun kecil merupakan penyumbang utama pengeluaran getah asli iaitu melebihi 90 peratus.

Harga purata bulanan lateks pekat bagi November 2017 ialah sebanyak 474.89 sen sekilogram dan bagi SMR20, harga pada 581.20 sen sekilogram, masing-masing susut tiga peratus dan 3.3 peratus berbanding Otober 2017.

Jabatan itu berkata eksport getah asli bagi bulan yang sama sebanyak 47,589 tan, meningkat 0.9 perarus berbanding Otober 2017.

Lima destinasi utama eksport getah asli ialah China, Jerman, Iran, Amerika Syarikat dan Turki.

Sementara itu, penggunaan domestik getah asli pada November 2017 susut 0.7 peratus kepada 42,268 tan berbanding 42,753 tan pada bulan sebelumnya, dengan 73.3 peratus didominasi industri sarung tangan getah.

Paras stok getah asli meningkat 4.9 peratus kepada 216,413 tan pada akhir November 2017.

-- BERNAMA