Strategi NBOS KPDNKK Dengan Lain-lain Agensi Keselamatan Capai Kejayaan Memberangsangkan

KUCHING, 8 Dis (Bernama) -- Kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan lain-lain agensi keselamatan menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam membendung penyelewengan barang-barang kawalan bersubsidi, menangani isu-isu ketirisan, penyeludupan barang ke luar negara, menampakkan kejayaan yang cukup memberangsangkan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK Datuk Mohd Roslan Mahayuddin berkata 172 kes berkaitan cubaan menyeludup barang ke negara jiran, diserahkan oleh agensi-agensi keselamatan kepada penguatkuasa KPDNKK untuk tindakan lanjut sepanjang tahun lepas, membabitkan rampasan barang-barang yang bernilai RM11.531 juta.

Beliau berkata tahun ini pula sehingga bulan Oktober lepas, 160 kes diserahkan kepada bahagian penguatkuasaan KPDNKK, membabitkan barang rampasan yang bernilai RM6.607 juta.

Menurutnya agensi-agensi ini seperti polis, tentera, polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lain-lain lagi, biasanya berurusan dengan kawasan-kawasan di sempadan negara, dan mereka menyerahkan kes-kes berkaitan kepada KPDNKK kerana ia berada dalam bidang kuasa kementerian.

"Penguatkuasa KPDNKK memang tak mencukupi kalau nak ditempatkan di pos-pos sempadan, kalau ditempatkan di sana, siapa pula nak jaga kawasan bandar raya Kuching ini misalnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat mengenai perundangan dan akta-akta yang dikuat kuasa oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNKK di Dewan Bukavu di Kem Penrissen di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata ia sebenarnya tetap bergantung kepada maklumat dan keperluan dari semasa ke semasa, sebagai contoh ketika ini menurutnya pegawai penguatkuasa KPDNKK ada ditempatkan di sekitar pos sempadan di Serikin, kira-kira 50km dari sini, khusus bagi memantau kegiatan perniagaan di kawasan berkenaan.

Taklimat anjuran Briged Ketiga Infantri Malaysia hari ini merupakan sesi taklimat yang ketiga diadakan sejak mesyuarat pertama ATM dengan KPDNKK Mei lepas, dengan tujuan memberi pendedahan kepada anggota-anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengenai isu-isu perundangan dan akta-akta yang melibatkan kepenggunaan, bidang kuasa KPDNKK, serta garis panduan serahan kes daripada agensi luar.

Roslan berkata sesi taklimat pertama diadakan pada 26 Julai lepas di Kem Desa Pahlawan, Kelantan, manakala sesi kedua pada 10 Oktober lepas di Markas Batalion Ke-6, Rejimen Askar Melayu Diraja, di Kem Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, di Kedah.

Beliau berkata menerusi mesyuarat itu persetujuan dicapai bagi mewujudkan kerjasama secara NBOS, dengan skopnya meliputi latihan mengenai perundangan, kerjasama dari segi perkongsian maklumat perisikan, kawasan sempadan darat dan mendaftar keanggotaan 'Friends of KPDNKK' dalam kalangan anggota ATM.

-- BERNAMA