Cyberjaya Mahu Jadi Bandar Tanpa Tunai Pertama Melalui Pengunaan TaPay

CYBERJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Cyberjaya berhasrat untuk menjadi bandar tanpa tunai pertama melalui penggunaan e-dompet TaPay (Take Action Pay) yang dibangunkan buat kali pertama di negara ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Sebagai permulaan, projek perintis akan dijalankan dengan peruncit dan restoran terpilih dalam tempoh sebulan, sebelum diperluaskan ke Lembah Klang, seluruh negara dan kemudian merentasi negara-negara ASEAN.

Menurut beliau, TaPay, yang memberi keutamaan kepada penggunaan komuniti, sedang dikemas kini dan diperkukuhkan melalui penglibatan secara langsung dan input berterusan daripada 100,000 perniagaan, penduduk, institusi pendidikan termasuk pelajar di Cyberjaya.

"Saya berharap inisiatif ini memberi hasil dan lebih banyak peruncit serta restoran di Cyberjaya menyertainya. Menjelang 2020, kami berharap dapat mengurangkan kebergantungan terhadap transaksi tunai atau kepada 63 peratus daripada jumlah urus niaga dan meningkatkan bilangan urus niaga e-pembayaran per kapita kepada 200 transaksi.

"Ini merupakan perubahan pemikiran yang kerajaan mahu wujudkan di kalangan rakyat serta perniagaan untuk kekal relevan di kalangan negara-negara yang membangun dan setara dengan dompet mudah alih China, Alipay, yang akan menjadi satu lagi opsyen pembayaran di negara ini, menjelang tahun depan," katanya pemberita selepas melancarkan TaPay, yang merupakan usaha sama antara Fullrich Malaysia Sdn Bhd, Cyberview Sdn Bhd dan Affin Bank Group di sini hari ini.

Mohd Irwan, yang juga Pengerusi Cyberview, berkata matlamat masyarakat tanpa tunai ini adalah selaras dengan aspirasi Malaysia untuk meningkatkan inisiatif ekonomi digital negara, yang bakal menjadi sumber baharu pertumbuhan dalam keluaran dalam negara kasar.

"Kami memilih Cyberjaya sebagai perintis memandangkan bandar ini dilengkapi dengan infrastruktur serta ciri-ciri perbandaran yang selaras dengan pelan hala tuju bandar pintar. Melaluinya, kami akan mengurangkan unsur transaksi pembayaran fizikal (kad kredit dan debit) supaya ia akan menjadi lebih mudah untuk pengguna. Yang penting sekali, ianya adalah selamat untuk rakyat Malaysia.

"Kami mesti mendidik dan meyakinkan orang ramai untuk bertukar kepada e-dompet daripada tunai. Pada masa yang sama, Malaysia perlu mengekalkan daya saing, kepantasan dan kecekapan dalam eko-sistem wang elektronik. Oleh yang demikian, saya menyeru CIMB, Maybank dan RHB untuk bekerjasama dengan Fullrich berkaitan dengan inisiatif tanpa tunai," katanya.

Beliau berkata walaupun ia menjadi satu tugas yang sukar untuk berdiri setanding dengan Alibaba, adalah tidak mustahil bagi Malaysia untuk menguasai pasaran ASEAN, seperti Indonesia, Filipina dan Thailand, melalui e-dompet TaPay.

Diminta mengulas mengenai keluhan penyanyi popular Datuk Sheila Majid mengenai kos sara hidup yang tinggi dan nilai ringgit yang semakin lemah dalam sebuah catatan Twitter, Mohd Irwan berkata: "Orang ramai sentiasa keliru antara kos kehidupan dan kos sara hidup. Barang-barang makanan asas seperti beras serta minyak, dan keperluan asas diletakkan sebagai kos inflasi dan kos inflasi negara ini adalah serendah 3.5 peratus.

"Manakala kenaikan gaji tahunan rakyat Malaysia adalah antara lima hingga enam peratus, mereka mampu menampung kos inflasi. Jika anda menambah kos gaya hidup kepada kos hidup, sudah tentu, perkara-perkara tertentu akan berada di luar kemampuan anda. Jika perkara-perkara mewah dimasukkan ke dalam perbelanjaan seharian, orang-orang ini akan mula merungut," katanya.

Irwan berkata, kerajaan telah melakukan banyak bagi meringankan beban kumpulan B40, merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan RM3,900 dan ke bawah.

"(Kami telah beri) Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yuran pendidikan (pendidikan percuma), dan bayaran hospital RM1.

"Di mana dalam dunia ini, anda boleh pergi ke hospital dan hanya perlu membayar RM1," beliau bertanya.

"Ekonomi berkembang, segala-galanya adalah baik. Tidak perlu bimbang, negara ini adalah sebuah negara makmur," katanya, sambil menambah bahawa pasaran hartanah sedang melembap dan harga rumah mula menurun.

Terdahulu, Mohd Irwan menyaksikan majlis memeterai perjanjian antara Fullrich dan Cyberview, termasuk empat memorandum persefahaman antara Fullrich dan rakan-rakan kongsi seperti Affin, Picksum (pasar e-fesyen tempatan), AladdinStreet (pasar e-dagang halal) dan myrelo (perniagaan penyimpanan dan pemindahan Malaysia).

-- BERNAMA