Harga Murah Tarik Pengunjung Ke Karnival Jualan Mega 2017

IPOH, 25 Nov (Bernama) -- Pelbagai barangan yang ditawarkan dengan potongan harga sehingga lebih 50 peratus menarik kedatangan pengunjung ke Karnival Jualan Mega 2017 (KJM 2017) anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sini hari ini.

Seorang pengunjung, Sivagami Yusuf Ali, 34, berkata dia terkejut setelah melihat harga barangan, misalnya pakaian sekolah, dijual RM8 daripada harga biasa lebih RM20 sepasang.

"Kasut sekolah dengan jenama yang baik baru RM15, bayangkan berapa banyak saya dapat jimat... saya ada tiga orang anak yang sedang bersekolah," katanya ketika ditemui Bernama.

Rokiah Abdullah, 41, dari Pasir Salak pula berkata pelbagai barangan keperluan rumah turut dijual pada harga yang berpatutan.

"Mulanya datang untuk tengok-tengok sahaja, tapi bila tengok harga berpatutan saya beli beberapa barangan elektrik dan makanan," katanya.

Dalam pada itu, seorang pempamer, Pengurus Wilayah Buraqoil, Zailani Ariffin berkata sambutan para pengunjung ke karnival itu amat memberangsangkan.

"Kami tidak membuat jualan sebaliknya lebih kepada memperkenalkan jenama Buraqoil kepada usahawan-usahawan di negeri Perak. Sepanjang empat hari di karnival ini, kami telah mendapat 47 permohonan untuk membuka stesen minyak mini Buraqoil di serata negeri," katanya.

Bagi Pengurus Jualan Peruncitan Kebangsaan Shell Malaysia Au Tong Sing pula, mereka menyasarkan 500,000 pengunjung datang ke gerai Shell.

"Antara tarikan di gerai Shell adalah simulator kereta Formula dan pengunjung berpeluang merasai bagaimana memandu kereta F1. Selain itu kita juga ada membuat peraduan dan jualan barangan cenderamata jenama Shell," katanya.

Karnival lima hari bermula Rabu lepas itu melibatkan 70 pempamer dengan hampir 250 gerai pameran terdiri daripada pelbagai jenama terkemuka membabitkan pelbagai sektor antaranya peruncitan, pakaian, buku dan gajet.

KJM 2017 dengan kerjasama wakil komuniti trak makanan di seluruh negara turut mengadakan Festival Food Truck Malaysia 2017 di lokasi sama.

-- BERNAMA