Karnival Jualan Mega Tingkat Ekonomi Domestik

IPOH, 25 Nov (Bernama) -- Karnival Jualan Mega (KJM) 2017 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mampu memperluaskan pasaran tempatan sekali gus meningkatkan ekonomi domestik.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata karnival itu melibatkan 70 pempamer dengan hampir 250 gerai pameran terdiri daripada jenama terkemuka dalam pelbagai sektor antaranya peruncitan, syarikat minyak dan gas, pakaian, buku, makanan dan minuman serta gajet.

"Alhamdulillah gabungan itu membuktikan kerajaan selama ini bukan sahaja membangunkan negara malah memberikan segala keperluan yang dikehendaki rakyat keseluruhannya," katanya ketika berucap pada majlis perasmian karnival itu yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bulatan Amanjaya di sini hari ini.

Hamzah berkata KJM 2017 dengan kerjasama wakil komuniti trak makanan di seluruh negara turut mengadakan Festival Food Truck Malaysia (FFTM) 2017 di lokasi sama.

"Komuniti itu juga mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai konvoi trak makanan terbesar dan terpanjang. Sebanyak 100 trak makanan menyertai konvoi sejauh 130 kilometer yang bermula dari Tanjung Malim," katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata lebih 100 kereta pelbagai jenama turut terjual pada karnival yang berlangsung selama lima hari bermula Rabu lalu (22 Nov) itu.

"Semasa melawat tapak karnival saya diberitahu bahawa Bank Rakyat menyediakan pinjaman pembelian kereta kepada pembeli," katanya.

Pelbagai acara menarik disusun pada karnival itu antaranya forum perdana, ceramah kecergasan, bicara usahawan dan konsert daripada artis terkenal tanah air termasuk Datuk Nash Lefthanded, Black Hanifah, Wany Hasrita dan Dayang Nurfaizah.

-- BERNAMA