IHP Oktober Meningkat 3.7 Peratus

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Indeks Harga Pengguna Malaysia (IHP), yang mengukur inflasi, meningkat 3.7 peratus tahun ke tahun kepada 120.0 pada Oktober 2017 daripada 115.7 sebelumnya.

Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata beberapa indeks utama mencatatkan peningkatan, termasuk makanan dan minuman bukan alkohol (+4.4 peratus), restoran dan hotel (+2.7 peratus), kesihatan (+2.4 peratus), hiasan, perkakasan dan penyelenggaran isi rumah (+2.6 peratus dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.4 peratus).

"Indeks kumpulan pengangkutan juga menujukkan peningkatan ketara sebanyak 12.1 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2017, susulan peningkatan 15.8 peratus pada September 2017.

"Bahan api dan pelincir bagi perkakasan pengangkutan persendirian menyumbang 7.8 peratus kepada wajaran IHP," katanya.

Sementara itu, harga purata satu liter petrol RON95 meningkat kepada RM2.18 pada Oktober 2017 berbanding RM1.80 pada Oktober 2016.

Bagi RON97, harga purata meningkat kepada RM2.48 pada Oktober 2017 berbanding RM2.15 pada bulan yang sama tahun lepas.

Sementara itu, empat negeri mencatatkan peningkatan lebih tinggi tahun dalam indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol pada Oktober 2017, dengan Johor meningkat 5.1 peratus, Melaka (5.1 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4.8 peratus) dan Kedah dan Perlis (4.5 peratus).

Jabatan itu berkata berdasarkan terma pelarasan bermusim, IHP bagi Oktober 2017 turun 0.2 peratus berbanding bulan sebelumnya, manakala inflasi teras meningkat 2.3 peratus.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada peningkatan kadar inflasi teras ialah kenaikan harga bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (+4.0 peratus), pengangkutan (+2.1 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.8 peratus), restoran dan hotel (+2.7 peratus), kesihatan (+2.4 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (+2.6 peratus), katanya.

-- BERNAMA