KPDNKK Serah Pindaan Akta Koperasi Kepada Jabatan Peguam Negara

PETALING JAYA, 14 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menyerahkan cadangan pindaan Akta Koperasi 1993 (Pindaan 2007)(Akta 502) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk diperhalusi.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kementerian masih menunggu keputusan daripada AGC sebelum ia dapat dibentangkan di Parlimen.

"Kita sudah serah pada AGC untuk memuktamadkan semua dan apabila AGC sudah serah kepada kita semula, baru kita bawa (pindaan) ke Parlimen.

"Kalau tidak sempat bentang pada sesi kali ini, kita akan bentang pada sesi seterusnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada jamuan malam sempena penganjuran 'International Co-operative Alliance Global Conference and General Assembly' di sini malam ini.

Hamzah berkata cadangan pindaan itu antara lain meliputi urus tadbir dan peraturan berkenaan koperasi di negara ini.

Turut hadir Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Presiden International Co-operative Alliance, Monique Leroux.

Malaysia julung kali menjadi tuan rumah acara bertaraf global itu yang berlangsung empat hari bermula hari ini di sebuah hotel di sini.

Bertemakan 'Koperasi: Memartabatkan Masyarakat Dalam Arus Pembangunan', persidangan itu bertujuan membincangkan isu berkaitan pembangunan sektor koperasi.

-- BERNAMA