RM296 Juta Pembiayaan Keusahawanan Melalui Portal YEN - Khairy

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Sebanyak RM296 juta telah dikumpul bagi dana pembiayaan keusahawanan untuk membantu usahawan muda di bawah portal Youth Entreprenurial Network (YEN) yang dilancarkan hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata dana itu merupakan antara kemudahan ditawarkan oleh portal YEN yang merupakan satu pusat sehenti maya bagi usahawan belia mendapatkan kemudahan latihan dan pembiayaan.

Beliau berkata portal itu juga akan menjadi pemudah cara dalam memastikan anak muda dapat didekatkan dengan peluang-peluang yang ada di bawah agensi kerajaan.

"Kita telah mula mengumpul dana sejak awal tahun ini, dan sehingga kini pada hari pelancaran kita telah dapat RM296 juta, jadi anak muda yang berminat boleh terus lihat kelayakan, buat permohonan dan terus berhubung dengan agensi berkenaan.

"Kita juga akan terus berkerjasama dan menambah bilangan agensi yang terlibat dalam portal ini sekali gus menyediakan peluang yang lebih banyak kepada anak muda yang melawat portal ini," katanya ketika melancarkan Youth Biz-Talk dan portal YEN di sini hari ini.

Selain pembiayaan dan latihan, Portal YEN juga menyediakan ruang panduan bagi memulakan perniagaan kepada bakal usahawan dan usahawan belia.

Mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang YEN di http://www.yen.gov.my

Sebanyak 19 rakan stratergik yang bekerjasama di dalam portal YEN, antaranya Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional).



-- BERNAMA