4,096 Permohonan Sertai TUKAR Sejak 2013

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Sebanyak 4,096 permohonan untuk pinjaman bagi menyertai Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) diterima kerajaan sejak 2013 sehingga setakat ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Henry Sum Agong berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 2,526 permohonan telah ditolak.

"Sebanyak 1,570 permohonan sahaja berjaya diterima dan diluluskan, sementara sebanyak 33 orang telah berjaya membayar habis pinjaman mereka.

"Manakala peserta yang belum menyelesaikan pembayaran sepenuhnya ialah sebanyak 1,537 orang," katanya semasa menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) berhubung jumlah kedai runcit yang memohon, diluluskan dan ditolak untuk menyertai program TUKAR sejak 2013 sehingga 2017.

Katanya TUKAR dimulakan sejak 2011 bagi membantu para peniaga kedai runcit yang tidak mendapat peluang pinjaman daripada bank mendapatkan bantuan pinjaman sebanyak RM80,000 bagi tempoh 15 tahun.

"Mulai tahun ini jumlah itu dinaikkan kepada RM200,000 yang perlu dibayar dalam tempoh sama tetapi khusus bagi peniaga-peniaga yang menunjukkan kejayaan dalam perniagaan mereka," katanya.

TUKAR merupakan satu daripada Projek Pemulaan (EPP) di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) bagi Pemborongan dan Peruncitan yang diselia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Program itu yang dilancarkan pada 19 Febi 2011 memfokuskan untuk memodenkan kedai runcit tradisional dan sedia ada bagi meningkatkan daya saing dalam persekitaran peruncitan yang kompetitif.

-- BERNAMA