Lebih Banyak Pihak Diberi Peluang Buka KR1M 2.0 - Hamzah

KANGAR, 28 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan memberi peluang kepada lebih banyak pihak membuka Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0 (KR1M 2.0) bagi memastikan ia tidak gagal seperti KR1M sebelum ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata kerajaan juga akan melantik lebih banyak pembekal untuk mendapatkan harga terendah selain dapat mencegah monopoli.

Katanya pelancaran KR1M 2.0 yang pertama akan dibuat selepas perjanjian dengan pihak-pihak terbabit dimeterai dalam masa terdekat.

Dulu kita bagi pada Mydin yang mencadangkan model KR1M dan pelaksanaannya disokong oleh kerajaan tetapi syarikat itu kini tidak lagi mampu bersaing dan menarik diri menyebabkan kita terpaksa mengkaji semula model baharu," katanya kepada media selepas melancarkan 'Friends of KPDNKK Perlis' (FOK) di Institut Pendidikan Guru Malaysia kampus Perlis di sini hari ini.

Hamzah mengulas Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang mengumumkan untuk mewujudkan 50 KR1M 2.0 menjelang akhir tahun depan bagi menggantikan KR1M 1.0.

Beliau berkata kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan 3,000 KR1M menjelang tahun 2020 dengan matlamat rakyat dapat membeli barang-barang keperluan harian pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.

Hamzah berkata selain lima barang asas yang dikawal (minyak masak, gula, gas LPG dan tepung),

sebanyak 50 item barang lain boleh dibeli pada harga berpatutan di KR1M.

"Bajet 2018 adalah yang paling inklusif pernah dipersembahkan dan ini menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu mentadbir, melaksana dan mentransformasi agenda ekonomi negara bagi mencapai matlamat negara maju pada tahun 2020 dan dihormati di peringkat dunia.

"Ini adalah bukti kerajaan BN bertanggungjawab terhadap rakyat dan bukan bercakap kosong seperti bajet pembangkang," tambahnya.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata FOK yang menjadi mata dan telinga KPDNKK mencecah lebih 800,000 anggota di seluruh negara dan di Perlis sahaja seramai 12,328 orang telah menganggotainya.

-- BERNAMA