RUU Perbadanan Harta Intelek Malaysia Dibentang Bagi Bacaan Kedua Di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) (Pindaan) 2017 yang bertujuan memperkemaskan peranan perbadanan itu dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Henry Sum Agong berkata RUU itu adalah bagi menambah baik Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia 2002 (Akta 617) yang belum pernah dipinda sejak dikuatkuasakan pada 2003.

Beliau berkata pindaan tersebut antaranya bertujuan mewujudkan peruntukan baharu yang jelas bagi membenarkan MyIPO menubuhkan syarikat sekali gus membolehkannya memperkasa dan mempelbagai sumber pendapatan.

"Ia bagi memastikan kelestarian MyIPO sebagai pentadbir harta intelek negara dalam mengukuhkan pentadbiran serta dapat mengurangkan pergantungan pada dana kerajaan melalui sumber pendapatan melalui anak syarikat yang bakal ditubuhkan," katanya ketika membentangkan RUU itu.

Henry Sum berkata langkah itu secara tidak langsung akan mengurangkan beban kewangan kerajaan terutama dari segi kos latihan, promosi dan merancakkan program-program inovasi dan kreativiti di negara ini.

Dalam pada itu, Rubiah Wang (BN-Kota Samarahan) ketika membahaskan RUU itu berharap pindaan undang-undang tersebut akan meningkatkan perlindungan terhadap harta intelek dalam talian.

"Dengan perkembangan teknologi, semakin ramai memuat naik karya seni dalam talian dan di media sosial, karya ini mudah dicetak rompak secara digital melalui muat turun dan perkongsian," katanya.

Justeru, beliau berharap adanya peraturan yang membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang 'merompak' karya tersebut secara digital.

Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) pula berkata pemerkasaan MyIPO mampu menarik para pelabur untuk melabur di dalam negara ini.

"Kalau kita mempunyai kerangka yang kuat dalam melindungi harta intelek, maka kita boleh menarik pelabur untuk menghasilkan produk-produk di negara ini," katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pindaan) 2017 yang antara lain memberi kuasa kepada suruhanjaya itu mengenakan penalti kewangan serta memungut caj ke atas penumpang di lapangan terbang bagi perkhidmatan pengawal seliaan apabila berkuat kuasa nanti.

-- BERNAMA