Persatuan Pengguna Digesa Lebih Aktif Dan Lancar Kempen - Salleh

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menasihatkan pengguna agar tidak menjadi mangsa pemerasan dan berada dalam keadaan terpaksa membeli atau melanggan kerana mereka tidak berdaya dan tiada pilihan dalam perkara itu.

"Pepatah ada menyebut: 'consumers vote with their feet'. Dalam perkataan lain, jika mereka tidak mendapat tawaran terbaik, mereka boleh memilih tempat lain," katanya menerusi catatan terkini blog beliau, sskeruak.blogspot.my.

Sehubungan itu, beliau menggesa persatuan pengguna agar lebih aktif dan melancarkan kempen awam untuk menasihatkan pengguna apakah yang mereka harus lakukan untuk mendapatkan tawaran terbaik.

Beliau juga berkata lebih banyak undang-undang mengenai perlindungan pengguna perlu diwujudkan, seperti yang dilakukan di Eropah iaitu polisi pemulangan produk dalam tempoh 30 hari bagi pengguna yang tidak berpuas hati dengan produk yang dibeli atau mendapati produk yang sama dijual dengan harga lebih murah di tempat lain.

Sudah tiba masanya pengguna diberi kuasa dan tidak menjadi mangsa amalan perdagangan yang tidak adil. Pengguna bukan sahaja perlu mengetahui hak mereka, tetapi mesti berhati-hati dan lebih selektif sebelum membeli.

Beliau berkata pengguna perlu lebih berhati-hati, kerana kerajaan tidak dapat menyelesaikan semua masalah melalui undang-undang jika pembeli sendiri cuai dan tidak membuat pemilihan secara berhati-hati sebelum melakukan pembelian.

-- BERNAMA