Al Mubarak Health Sasar Jadi Pengeluar Kopi Segera Nombor Satu

Oleh Nor Baizura Basri

JOHOR BAHRU, 13 Okt (Bernama) -- Al Mubarak Health Sdn Bhd, pengeluar kopi jenama Badang, menyasarkan untuk menjadi pengeluar kopi segera nombor satu dalam pasaran selain memperluaskan pasaran ke luar negara dengan lebih agresif dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Pengarah Urusannya, Dr Ballan Paraman berkata sejak produk itu dilancarkan secara rasmi pada Mei tahun lepas, sambutan terhadap produknya amat memberangsangkan bukan sahaja di pasaran tempatan tetapi turut mendapat permintaan dari beberapa negara termasuk China.

Beroperasi di bangunan dua tingkat di Skudai dengan keluasan 7,000 kaki persegi dan menempatkan pejabat, pusat pengeluaran kopi dan stor, beliau berkata buat masa ini, pengeluaran produk kopinya yang 100 peratus menggunakan mesin itu mampu memproses 200 kilogram kopi bersamaan 18,000 paket dalam satu masa.

Menggunakan sepenuhnya pekerja tempatan, Ballan berkata tempahan yang semakin meningkat juga membuatkan syarikat merancang untuk membeli sebuah kilang di Pasir Gudang dengan keluasan lebih 10,000 kaki persegi yang mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 500,000 paket sehari.

"Kita bakal menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat berkaitan kerajaan dari China untuk produk Kopi Badang Kacip Fatimah Collagen dan Kopi Badang Tongkat Ali.

"Syarikat itu akan memasarkan produk kita secara eksklusif mulai tahun depan," katanya kepada Bernama di pejabatnya, baru-baru ini.

Beliau berkata dengan peningkatan kapasiti pengeluaran, syarikat akan mampu memenuhi permintaan bukan sahaja dalam negara tetapi juga luar negara.

Menurut Ballan, buat masa ini, produk Kopi Badang dan beberapa produk lain keluaran Al Mubarak boleh diperoleh melalui ejen dan stokis, selain membeli terus dari pejabatnya di sini.

Bagi tujuan promosi dan pengiklanan, syarikat itu membelanjakan sebanyak RM5 juta selain menaja program Super Spontan 2017 dalam usaha mengetengahkan dan mengukuhkan jenama tersebut di pasaran tempatan.

Syarikat tersebut turut bercadang untuk menempatkan produknya di Agro Bazaar Singapura, untuk meneroka pasaran di republik itu.

Terdahulu, Pengarah Wilayah Selatan Matrade, Raphy Md Radzi dan dua wakil pemasaran FAMA meninjau operasi syarikat itu.

-- BERNAMA