Menteri Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin bergambar bersama Pengasas dan Pengerusi Marrybrown Sdn Bhd Datuk Lawrence Liew (dua, kiri) dan Pengasas dan Pengarah Urusan Marrybrown Sdn Bhd Datin Nancy Liew (kanan) pada Majlis Perasmian Marrybrown School of Quick Service Restaurant (QSR) di Kawasan Perindustrian Dewani. Foto: Shaifuldin Ahmad

KPDNKK Alukan Kerjasama Francais Tempatan Kembang Produk Ke Luar Negara

JOHOR BAHRU, 9 Okt (Bernama) -- Kerajaan sentiasa mengalu-alukan mana-mana syarikat francais tempatan yang berminat untuk mengembangkan industri francais negara sekali gus memperkenalkan lagi produk keluaran Malaysia di luar negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ini kerana usaha menubuhkan syarikat francais yang baharu bukan mudah tetapi sekiranya kerajaan dapat bekerjasama dengan syarikat francais sedia ada, maka, usaha meluaskan produk tempatan adalah lebih mudah dilakukan.

"Kementerian melihat program membangunkan francais adalah seperti program membangunkan jenama-jenama tempatan, dalam erti kata lain membantu peniaga-peniaga tempatan dan menggalakkan pengusaha-pengusaha yang baharu.

"Usaha ini perlu dipertingkatkan memandangkan produk keluaran negara ini semakin mendapat tempat di seluruh dunia. Sehingga kini, 65 jenama keluaran Malaysia telah dipasarkan di 4,271 cawangan di 66 negara, antaranya melibatkan produk makanan, pendidikan, sukan dan permainan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Latihan Restoran Perkhidmatan Pantas (QSR) milik pengendali restoran makanan segera jenama Malaysia, Marrybrown Sdn Bhd (Marrybrown) di sini hari ini.

Turut hadir Pengasas dan Pengarah Urusan Marrybrown Datin Nancy Liew dan Pengerusi Marrybrown Datuk Lawrence Liew.

Tambahnya, kementeriannya akan terus menjalin kerjasama rapat dengan industri francais di negara ini termasuk membantu usaha mempromosi produk keluaran Malaysia di luar negara.

Hamzah berkata di negara maju, industri francais bukan sahaja dapat meningkatkan lagi perolehan syarikat malah turut mampu berkembang dengan pantas sekali gus menjadi pemangkin kepada perkembangan produk-produk francais yang lain.

Menurutnya, kementeriannya juga sedang mengenal pasti potensi untuk mengembangkan perniagaan francais melalui penggunaan khidmat food truck.

Sementara itu, Nancy berkata Marrybrown kini mempunyai 350 cawangan di 16 negara termasuk Singapura, China, India, Brunei, Maldives dan pihaknya menjangkakan pembukaan sebanyak 10 cawangan baharu di seluruh negara sebelum penghujung tahun ini.

Beliau berkata, pusat latihan QSR berkenaan telah mula beroperasi sejak awal tahun ini dan kini mempunyai lebih 300 pelajar dan 20 tenaga pengajar mahir.

-- BERNAMA