Aplikasi Paparan Harga KPDNKK Pamer Maklumat Lebih 400 Barangan

Oleh Murni Mat Nasri

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Para pengguna kini boleh mendapatkan maklumat harga lebih daripada 400 barangan di kawasan mereka dengan hanya memuat turun aplikasi telefon pintar Paparan Harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Senarai itu merangkumi enam kategori utama iaitu barangan segar, kering, berbungkus/tin/pek/kotak/botol, susu dan barangan bayi serta produk kebersihan dan juga minuman.

Ketua Sekretariat Majlis Barangan Negara KPDNKK, Norsazila Norin berkata aplikasi telefon pintar yang mula diaktifkan pada tahun 2016 itu bertujuan memudahkan pengguna mendapatkan maklumat harga barangan keperluan di premis-premis terpilih di sekitar kawasan masing-masing.

"Kita maklum pengguna telefon pintar di Malaysia adalah antara tertinggi (di dunia) dan dengan perubahan gaya hidup, para pengguna kini mempunyai masa membandingkan harga antara satu premis dengan yang lain.

"Aplikasi Paparan Harga ini diwujudkan bagi kemudahan pengguna membuat keputusan bijak dalam merancang perbelanjaan mereka," kata beliau dalam temubual dengan Bernama Portal, pada Isnin.

Mengulas selanjutnya, Norsaliza berkata, aplikasi itu juga membolehkan pengguna mendapatkan maklumat lokasi premis berhampiran yang menawarkan harga barangan berpatutan menerusi carian mengikut kategori dan lokasi.

Malah, pengguna juga mendapat maklumat terkini kerana harga barang-barang tersebut dikemaskini secara berkala sama ada harian, mingguan atau bulanan oleh pegawai pemantau harga KPDNKK di seluruh Malaysia.

"Pengguna juga boleh mendapatkan harga terkini petrol pada setiap Rabu menerusi aplikasi ini selain carian barang-barang keperluan seharian mengikut kategori atau lokasi tertentu yang boleh dikongsi bersama rakan-rakan di media sosial termasuk WhatsApp, Telegram dan sebagainya,? katanya.

Norsaliza berkata, carian lokasi itu dipermudahkan menerusi penggunaan aplikasi Google Maps atau Waze.

Pengguna boleh mendapatkan paparan harga yang disusun mengikut premis menawarkan harga terendah kepada harga tertinggi ini dengan memuat turun aplikasi Paparan Harga KPDNKK di Google Play Store dan Apple App Store.

KPDNKK turut mengalu-alukan sebarang komen bagi penambahbaikan serta maklum balas aplikasi itu yang boleh dihantar menerusi emel paparanharga@kpdnkk.gov.my

-- BERNAMA