MFA Mahu Lebih Ramai Usahawan Francais Tembusi Pasaran Luar Negara

PUTRAJAYA, 28 Sept (Bernama) -- Persatuan Francais Malaysia (MFA) komited membantu usahawan francais tempatan untuk berkemampuan dan berinovasi bagi mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran luar negara.

Setiausaha Agung MFA Mohamad Shukri Salleh berkata setakat ini terdapat 65 jenama francais tempatan dibuka di 66 negara dengan 4,271 cawangan.

"Kita mahu lihat jumlah ini terus bertambah di masa akan datang, seterusnya memberi pulangan ekonomi kepada negara kita,? katanya dalam sidang media di sini hari ini sempena Malam Anugerah Francais 2017 yang akan diadakan di Hotel Marriot Putrajaya pada 25 Oktober ini.

Sejajar dengan sokongan MFA kepada anggotanya untuk terus berusaha menembusi pasaran antarabangsa, MFA memperkenalkan dua anugerah baharu iaitu Francaisor Antarabangsa Terbaik Asia Pasifik serta Francaisor Antarabangsa Terbaik Afrika dan Timur Tengah pada tahun ini, katanya.

"Justeru, malam anugerah itu nanti diharap akan menjadi platform bagi membina keyakinan usahawan francais bahawa perniagaan ini bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi perlu berkembang ke luar negara.

"MFA juga mahu menunjukkan kepada orang luar bahawa konsep perniagaan francais adalah yang terbaik dalam apa jua keadaan ekonomi dan sesuai disertai untuk meramaikan lagi jumlah usahawan tempatan," katanya.

Mohamad Shukri berkata MFA telah menerima 42 percalonan daripada 30 syarikat untuk bersaing dalam 21 kategori bagi majlis anugerah itu.

--BERNAMA