Go Auto Lancarkan Model H2 Dengan Warna Baharu

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Pengedar rasmi untuk kenderaan Haval di Malaysia, Go Auto telah melancarkan model pemasangan tempatan (CKD), H2, yang didatangkan dengan warna baharu.

Go Auto dalam satu kenyataan hari ini, berkata harga untuk model tersebut telah ditetapkan secara kompetitif di antara RM98,950 (varian Comfort Auto) dan RM101,950 (Premium Auto) termasuk insurans dan cukai jalan, Haval H2 ini dipasang dengan rim dan warna baharu, Haval Blue, sebagai tambahan kepada warna sedia ada, Haval Red.

Pengarah Eksekutif Go Auto, Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamil, berkata syarikat itu menyasarkan penjualan sebanyak 2,100 unit Haval H2 CKD sehingga 2018.

"H2 Haval sudah mula dipamerkan dalam 14 ruang-ruang pameran Haval di seluruh negara," katanya.

"Katanya, H2 itu juga berada dalam senarai model yang akan dieksport ke Batam, Indonesia dan Kemboja.

Sementara itu, Go Auto juga menawarkan skim 'Jaminan Pembelian Semula' bagi memastikan pemilik-pemilik kenderaan menerima 50 peratus daripada nilai jualan semula sekiranya kenderaan dijual kembali kepada syarikat dalam tempoh lima tahun.



-- BERNAMA