SSM Galakkan Peniaga Dalam Talian Dapatkan Sijil SSM BizTrus

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menggalakkan syarikatperniagaan dalam talian mendapatkan pensijilan digital SSM BizTrust untuk meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk jualan mereka.

Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran SSM, Farid Ahmad berkata sejak dilancarkan 21 Julai lepas, hanya 81 syarikat daripada lebih 57,000 syarikat perniagaan dalam talian telah berdaftar dan memperolehi sijil tersebut.

Beliau berkata, pendaftaran secara percuma masih dibuka sehingga 30 Sept ini dan pihaknya berharap peniaga mengambil peluang berbuat demikian untuk mendapatkan sijil berkenaan.

"Selepas 30 Sept, setiap pendaftaran akan dikenakan bayaran tertentu mengikut kategori yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Persidangan Usahawan E-Dagang yang disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan di sini.

Farid berkata, SSM BizTrust merupakan piawaian untuk entiti perniagaan dalam talian meningkatkan tahap keyakinan pengguna terhadap produk jualan mereka.

"Syarikat yang telah didaftarkan akan dikenali melalui logo pengenalan SSM BizTrust yang dipaparkan di laman web mereka.

"Pengguna akan lebih yakin untuk membeli barangan di laman web yang berdaftar sebab jika timbul apa-apa masalah mengenai transaksi barangan yang dibeli, pengguna boleh membuat aduan kepada SSM dan pihak kami akan dapat mengesan syarikat tersebut," katanya.

Dalam perkembangan lain, Farid berkata SSM bekerjasama dengan beberapa penyedia perkhidmatan e-dagang bagi memberi perlindungan kepada pengguna.

"Kita sudah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lazada Malaysia...peniaga yang hendak menjual barangan melalui portal Lazada mesti mendaftar dengan SSM supaya hak pengguna dilindungi dan lebih terjamin.

"Jika ada apa-apa masalah yang timbul daripada transaksi yang dijalankan, kita tahu siapa yang kita nak cari sebab kita ada maklumat terperinci peniaga, dan sekarang ini kita juga dalam perbincangan dengan beberapa 'market place' yang lain untuk menjalinkan kerjasama yang sama," katanya.

-- BERNAMA