Koperasi Sektor Peruncitan Bantu Tangani Kos Sara Hidup

TASEK GELUGOR, 27 Ogos (Bernama) -- Koperasi bagi sektor peruncitan di negara ini terbukti berjaya membantu orang ramai menangani kos sara hidup kerana menawarkan harga barangan keperluan yang lebih murah berbanding harga biasa.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Razali Othman berkata Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menerusi koperasi peruncitan membuka Kedai Harga Patut (KHP) dan telah menyediakan produk yang berkualiti pada harga 10 peratus lebih murah berbanding kedai biasa.

"Sehingga kini, terdapat sebanyak 13,428 koperasi berdaftar di seluruh negara dengan 60 peratus terdiri daripada koperasi dalam peruncitan serta penggunaan dan lebih 400 kedai yang diuruskan koperasi dengan menawarkan harga murah.

"Kami yakin koperasi itu boleh berperanan membantu kerajaan meningkatkan ekonomi khususnya membantu dari segi kos sara hidup sekarang ini dan penyertaan koperasi di sektor peruncitan sekurang-kurangnya dapat membantu menyediakan produk pada kadar harga patut,"katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Sambutan Hari Koperasi Negara 2017 peringkat Pulau Pinang dan Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (PENBAX) 2017 di Dataran Transformasi Usahawan, Kubang Menerong di sini.

Majlis itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan turut dihadiri Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi Negeri (MPKN) Datuk Muhammad Farid Saad.

Razali berkata KHP sejak diperkenalkan telah menerima sambutan baik dalam kalangan pengguna dan masyarakat juga sudah menerima koperasi peruncitan sebagai alternatif kepada kedai runcit sedia ada.

Sementara itu, Muhammad Farid yang juga Pengerusi Focus Group Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bumiputera Pulau Pinang berkata pihaknya menyasarkan jualan produk sebanyak RM1.8 juta pada PENBAX tahun ini berbanding RM1.5 juta semasa penganjuran tahun lepas.

Katanya seramai 316 usahawan di Pulau Pinang menyertai PENBAX yang berlangsung selama enam hari bermula 25 Ogos lepas dan ia merupakan inisiatif pihak kerajaan pusat sebagai platform berpusat usahawan Bumiputera dan koperasi di negeri ini memperkenal serta mempromosi produk mereka.

"Selain ekspo di PENBAX, kami juga turut mempromosikan produk-produk usahawan kita di luar negara seperti di Singapura bagi meningkatkan jualan mereka. Selain itu, seramai 140 usahawan di negeri ini menerima pinjaman menerusi Tabung Modal Pusingan sebanyak RM15 juta sejak lima tahun lepas,"katanya.

-- BERNAMA