Keyakinan Pengguna Malaysian Kukuh Dalam Separuh Kedua 2017 - Nielsen

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Keyakinan pengguna Malaysia pada suku kedua 2017 menunjukkan isyarat pengukuhan, naik tujuh mata indeks kepada 94 mata peratusan daripada tempoh yang sama tahun sebelumnya, mencecah tahap tertinggi sejak suku pertama 2015.

Kajian Global Keyakinan Pengguna dan Perbelanjaan Nielsen meletakkan Malaysia pada tempat ke-28 dalam negara paling yakin di dunia, walaupun disenaraikan sebagai yang kedua terendah di Asia Tenggara.

Pengarah Urusan Nielsen Malaysia, Richard Hall berkata, tahap keyakinan pengguna telah didorong oleh petunjuk ekonomi yang semakin positif, kestabilan mata wang dan ketiadaan kejutan utama dalam sistem.

"Walaupun indeks berada di bawah paras neutral, kami melihat mana-mana peningkatan dalam perbelanjaan pada separuh kedua tahun akan dipacu oleh berita ekonomi yang lebih baik dan kestabilan harga yang berterusan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Diperkenalkan pada 2005, Indeks Keyakinan Pengguna Nielsen dibentangkan pada setiap suku tahun dalam 63 negara bagi mengukur persepsi prospek kerja tempatan, kewangan peribadi, hasrat perbelanjaan serta isu-isu ekonomi yang berkaitan di seluruh dunia.

Tahap keyakinan pengguna di atas dan di bawah garis dasar sebanyak 100 menunjukkan darjah keyakinan dan pesimis, manakala dalam sesebuah negara,pergerakan semasa sebanyak tujuh mata atau lebih dianggap signifikan secara statistik.

Kajian Nielsen mencerminkan kebimbangan utama rakyat Malaysia masih berkisar tentang ekonomi (47 peratus), jaminan pekerjaan (22 peratus) dan peningkatan harga makanan (18 peratus), dengan 83 peratus daripada responden percaya bahawa negara masih dalam kemelesetan.

"Masih wujud persoalan yang tidak berkait iaitu antara petunjuk ekonomi dengan sentimen pengguna yang mana, walaupun bergerak ke arah yang sama sekarang, masih menunjukkan bahawa purata pengguna Malaysia khususnya di peringkat bawahan, tidak merasa kesan positif pertumbuhan ekonomi.

"Walaupun ekonomi kekal di tempat pertama dalam kebimbangan bagi separuh golongan pengguna di negara ini, ketidakpastian berkemungkinan besar akan lebih menyeluruh, terutama dengan tarikh pilihan raya umum yang semakin hampir," kata Hall.

Mengenai simpanan, kajian itu menunjukkan bahawa para pengguna Malaysia telah merancang hari tua mereka melalui pelaburan dalam saham/dana (32 peratus), insurans perubatan (25 peratus) dan dana persaraan (22 peratus).

Bagaimanapun, jika keadaan ekonomi bertambah baik, sekurang-kurangnya satu pertiga daripada pengguna Malaysia dijangka akan meneruskan penjimatan gas dan elektrik (33 peratus) dan mengurangkan hiburan di luar rumah (33 peratus).

"Kira-kira satu suku daripada responden mengatakan bahawa mereka akan mengurangkan pembelian pakaian baharu (28 peratus) dan bertukar kepada jenama runcit yang lebih murah (28 peratus)," katanya.

-- BERNAMA