Taman Anggur Perlis Dibuka Semula Tahun Depan

KANGAR, 11 Ogos (Bernama) -- Taman Anggur Perlis di Sungai Batu Pahat di sini yang kini dalam proses untuk dibaik pulih setelah terbiar sejak tiga tahun lalu dijangka akan beroperasi semula pertengahan tahun depan.

Pengarah Pertanian Perlis, Zulkifli Amin Mat Jusoh berkata pengurusan taman itu kini diserahkan kembali kepada pihaknya untuk diberi suntikan baharu dari segi pendekatan dan konsep pengurusan ekopelancongan yang menarik.

"Taman ini terpaksa ditutup pada 2014 yang lalu setelah syarikat swasta terbabit tidak lagi mampu menguruskannya. Pokok-pokok dan struktur pelindung hujan yang dibina terbiar begitu sahaja dan mengalami kerosakan akibat tidak dijaga.

"Mulai tahun ini Jabatan Pertanian telah melakukan kerja-kerja menaik taraf taman ini dengan peruntukan sebanyak RM250,000 serta memberi wajah baharu sebagai daya tarikan tersendiri kepada pelancong yang datang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zulkifli mengulas mengenai status perkembangan taman berkenaan yang dilihat seolah-olah mati sedangkan suatu ketika dahulu ia pernah mencatat jumlah puluhan ribu pengunjung setiap tahun sejak mula dibuka kepada orang ramai pada Julai 2011.

Taman Anggur Perlis itu mula dibangunkan oleh kerajaan pada 2005 secara perladangan berskala besar dengan keluasan 0.4 hektar dan sehingga kini kawasan taman berkenaan sudah mencapai keluasan kira-kira 10 hektar.

Menurut Zulkifli, konsep baharu yang akan diterapkan kepada pelancong yang datang ke taman itu nanti berupa pelbagai aktiviti berkaitan pertanian yang boleh dicuba sendiri untuk kenangan percutian mereka.

"Selain datang melihat taman yang subur, kita lebih menggalakkan para pengunjung untuk belajar asas penanaman seperti campuran tanah, jenis-jenis tanah, persediaan benih tanaman dan sebagainya.

"Di sini akan diadakan latihan secara terus tentang bagaimana cara nak tanam anggur. Misalnya setiap seorang pengunjung berpeluang tanam pokok mereka sendiri serta dicatat nama penanam atau kumpulan yang penanam sebagai kenangan," jelasnya.

Selain itu Zulkifli berkata bagi kumpulan rombongan dari sekolah-sekolah dan institusi pengajian yang berkunjung ke taman itu akan dihadiahkan dengan polibag pokok anggur yang sedia ditanam ditempat mereka serta akan memberi maklum balas perkembangan tanaman kepada pihaknya.

"Dengan cara ini hubungan dengan pengunjung akan lebih erat dan tidak mustahil menarik mereka untuk datang lagi ke Perlis, ditambah pula dengan medium komunikasi sosial masa kini yang amat membantu untuk kita sentiasa dekat dengan pengunjung," katanya.

Menurut Zulkifli, taman ekopelancongan itu juga akan diserikan lagi dengan beberapa tanaman lain yang sesuai dengan iklim di Perlis serta tidak mudah didapati di negara ini seperti pokok tin, zaitun dan delima.

Sementara itu, ketua unit taman berkenaan Mohd Zairi Kamaruddin berkata produk utama taman berkenaan masih kekal memfokuskan kepada tanaman anggur dengan tujuh jenis varieti antaranya anggur jenis IAC (hijau), 'black queen' (kehitaman), 'black opal' (hitam biru), dan 'new white malaga' (hijau).

Katanya pokok anggur dapat menghasilkan buah dengan mudah dua kali setahun iaitu pada Januari hingga Jun dan Julai hingga Disember di mana ia akan diselaraskan waktu kematangannya bersekali dengan musim menuai hasil Harumanis antara April hingga Jun.

Pembukaan semula Taman Anggur Perlis itu juga diyakini mampu menyemarakkan kembali kedatangan pengunjung ke Perlis selain kedudukannya yang amat strategik iaitu berhampiran berhampiran Taman Ular dan Reptilia serta Kelab Golf Perlis yang merupakan tempat tumpuan pelancong.

-- BERNAMA