KPDNKK Sabah Rampas Sabun Pencuci Tiruan Bernilai RM14,125

KOTA KINABALU, 11 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah merampas sebanyak 3,145 unit serbuk sabun pencuci tiruan bernilai RM14,125 dalam lima serbuan serentak, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Sabah Yahya Sujak berkata kesemua barangan berkenaan dirampas di empat premis di sekitar Kota Kinabalu dan sebuah premis di Keningau kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

"Sebelum itu kita telah menerima laporan daripada sebuah syarikat sabun di Kuala Lumpur mengenai perkara itu semalam.

"Sejurus selepas laporan itu kita telah menggerakkan operasi serentak untuk membuat serbuan terhadap premis berkenaan yang melibatkan 23 pegawai KPDNKK bersama empat wakil pengadu daripada syarikat sabun berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun tiada individu ditahan dalam serbuan berkenaan.

"Kita akan melakukan siasatan lanjut untuk mengenal pasti mana-mana pihak yang terlibat dalam kes itu," tambahnya.

Yahya berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 8 (2) (A) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu kesalahan membekalkan atau menawarkan apa-apa barangan tiruan dengan menggunakan cop dagang yang didaftarkan di Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata sejak Januari hingga 4 Ogos tahun ini, pihaknya telah merekodkan sebanyak 483 kes membabitkan pelbagai kes di bawah akta yang dikuatkuasakan KPDNKK di seluruh Sabah dengan jumlah rampasan kira-kira RM2.53 juta.

"Daripada jumlah kes itu, kita telah memungut denda di mahkamah sebanyak RM208,250,\" katanya.

-- BERNAMA