CFM Tawar Tip Cara Jemaah Jimat Bil Telefon

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia (CFM) memberi panduan kepada jemaah haji Malaysia bagaimana mereka boleh menjimatkan bayaran bil telefon sebelum dan semasa berpergian ke tanah suci agar bil mereka tidak melambung tinggi apabila pulang ke tanah air.

CFM berkata jemaah antara lain perlu mendapat nasihat daripada penyedia perkhidmatan sebelum bertolak, mengelak daripada menggunakan dua kad SIM dalam satu telefon bimbit selain menggunakan aplikasi seperti WhatsApp apabila menerima panggilan suara.

Namun, pengguna perlu memahami bagaimana panggilan suara dan data perayauan antarabangsa berfungsi serta tahu jumlah caj penggunaan yang dikenakan ketika berada di luar negara. Pengguna juga boleh mendapatkan alternatif lain yang boleh digunakan agar pengguna dapat mengawal perbelanjaan semasa menggunakan perkhidmatan tersebut.

Berikut adalah tip CFM buat pengguna tentang penggunaan perkhidmatan telekomunikasi ketika berada di luar negara bagi mengelak daripada menerima kejutan bil telefon apabila pulang ke tanah air:

TIPS 1

Rujuk Penyedia Perkhidmatan anda sebelum memulakan perjalanan ke luar negara. Ini adalah untuk memastikan anda mendapat maklumat yang tepat mengenai caj yang akan dikenakan. Anda tidak akan dikecualikan daripada membayar caj tersebut walaupun anda benar-benar tidak tahu.

TIPS 2

Buat salinan semua kenalan dan data penting dalam telefon anda sebelum meninggalkan Malaysia. Ini adalah sebagai langkah keselamatan sekiranya anda kehilangan telefon ketika berada di sana. Anda juga boleh memuatnaik maklumat penting ini dan menyimpannya di dalam storan atas talian untuk capaian mudah dari mana sahaja.

TIPS 3

Elak gunakan dua kad sim dalam satu telefon bimbit. Anda tidak digalakkan menggunakan cara ini jika anda tidak biasa dengan Tetapan telefon yang perlu diubah. Gunakan telefon bimbit yang lain bagi setiap kad sim. Anda juga disarankan agar membawa telefon bimbit kedua bagi penggunaan kad sim tempatan untuk menerima atau membuat panggilan penting ketika berada di Tanah Suci. Manakala telefon pintar anda boleh digunakan untuk sambungan Wi-Fi sahaja.

TIPS 4

Beli kad sim antarabangsa yang dijual di Malaysia melalui dalam talian atau di lapangan terbang Terdapat kad sim antarabangsa yang dijual di Malaysia yang mungkin mempunyai pakej yang dapat memenuhi keperluan anda selain dapat mengurangkan kerumitan anda untuk mendaftar kad sim semasa di luar negara.

TIPS 5

Dapatkan kad sim tempatan sebaik tiba di Arab Saudi sebagai alternatif untuk mendapatkan pilihan yang lebih murah. Lakukan sedikit kajian mengenai pelan yang disediakan di sana, dan pilih pakej kad sim yang terbaik serta sesuai dengan penggunaan anda sepanjang berada di sana.

TIPS 6

Nyahaktifkan "Sambungan Automatik ke Rangkaian". Kebanyakan penyedia perkhidmatan di Malaysia mempunyai rakan perayauan antarabangsa di semua negara yang anda lawati dan biasanya mereka menyediakan pakej khas kadar rata bagi panggilan suara dan data apabila anda disambungkan kepada mereka. Nyahaktifkan "SAMBUNGAN AUTOMATIK KE RANGKAIAN" dan pastikan anda sentiasa disambungkan kepada rakan perayauan penyedia perkhidmatan anda untuk menikmati pakej khas ini.

TIPS 7

Tukar mod "Airplane" atau "Kapal Terbang" dan gunakan Wi-Fi. Jika anda ingin terus berhubung hanya menggunakan Wi-Fi, anda boleh memilih untuk menukar mod telefon pintar anda ke mod "AIRPLANE" atau "KAPAL TERBANG" dan gunakan Wi-Fi awam yang anda boleh dapati di sana.

TIPS 8

Gunakan aplikasi seperti WhatsApp ketika menerima panggilan semasa berada di luar negara. Jika anda hanya mahu menerima panggilan dan SMS semasa berada di luar negara, anda boleh memilih untuk menggunakan aplikasi seperti "WhatsApp Call/Video Call" dan gunakan Wi-Fi sahaja.

ketika berada di luar negara kerana ia bukan sahaja melibatkan perkhidmatan dari penyedia perkhidmatan mereka di Malaysia tetapi rakan perayauan antarabangsa di negara yang dilawati," kata Megat Ishak.

Sebarang masalah berbangkit boleh dirujuk kepada talian tol bebas CFM di 1-800-18-2222 atau e-mel kepada aduan@cfm.org.my.

-- BERNAMA