MRT: Kejayaan Besar Kerajaan Majukan Pengangkutan Awam

KAJANG, 17 Julai (Bernama) -- Pelancaran fasa kedua Laluan Transit Aliran Massa (MRT) pertama hari ini merupakan kejayaan besar kerajaan dalam usaha berterusannya untuk memajukan dan menambah baik rangkaian pengangkutan awam, khususnya di kawasan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) sepanjang 51km akan memberi akses yang lebih baik kepada penumpang di sepanjang laluan itu.

Katanya, Laluan MRT SBK direka bentuk bagi memastikan wujudnya integrasi serba lengkap dengan perkhidmatan pengangkutan awam sedia ada dan akan datang seperti Transit Aliran Ringan (LRT), LRT3, MRT2 dan KTM Komuter.

"Persimpangan ini akan mewujudkan satu rangkaian pengangkutan awam bersepadu bersifat holistik, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat, terjamin dan lancar untuk rakyat.

"Saya amat berharap agar kami akan dapat terus meningkatkan kekerapannya (perkhidmatan berkenaan) pada masa akan datang.

"Dengan perasmian laluan Semantan-Kajang hari ini, saya amat yakin jumlah penumpang akan bertambah dengan begitu banyak," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran MRT di sini Isnin.

Sementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar menyifatkan projek MRT yang siap dilaksanakan itu sebagai suatu hadiah untuk rakyat, terutama di Selangor.

Katanya daripada 31 stesen Laluan SBK yang telah dibina, majoriti terletak di Selangor.

Fasa kedua Laluan MRT SBK yang dilancarkan di stesen bawah tanah Tun Razak Exchange hari ini, mengandungi 19 stesen baharu, tujuh daripadanya terletak di bawah tanah.

Stesen berkenaan ialah Muzium Negara, Pasar Seni, Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Tun Razak Exchange Centre, Cochrane, Maluri, Taman Pertama, Taman Midah, Taman Mutiara, Taman Connaught, Taman Suntex, Sri Raya, Bandar Tun Hussein Onn, Batu Sebelas Cheras, Bukit Dukung, Sungai Jernih, Stadium Kajang dan stesen Kajang.

Setiap set tren yang mengadakan perkhidmatan di Laluan MRT SBK mempunyai empat gerabak dan mampu mengangkut 1,200 penumpang bagi setiap perjalanan, dengan jumlah penumpang dianggarkan 400,000 orang setiap hari.

Tren berkenaan akan mengadakan perkhidmatan pada kekerapan 3.5 minit pada waktu puncak.



-- BERNAMA