Pengarah Syarikat Denda Gagal Kemuka Cukai GST

ALOR SETAR, 17 Julai (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat pembinaan dijkenakan hukuman denda RM6,000 bagi keseluruhan enam kesalahan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh yang ditetapkan.

Hakim Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman itu selepas Ahmad Fitri Zainol Abidin, 53 dari Illiasco Corporation Sdn Bhd, mengaku bersalah terdapat semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Dia dikenakan denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan dan turut berdepan hukuman tiga bulan penjara bagi setiap peruduhan jika gagal membayar denda berkenaan.

Dia didakwa gagal mengemukakan penyata GST dari April hingga November 2015 mengikut Seksyen 41 (1) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di stesen Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Persiaran Sultan Abdul Hamid, dekat sini, pada 29 Jun dan 31 Jan 2015, manakala empat lagi kesalahan pada 31 Jan 2016.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 41 (6) akta yang sama dan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Mohd Ridhauddin Jamaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA