Bernas Jamin Kualiti Beras Import

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Padiberas Nasional Berhad (Bernas) memberi jaminan bahawa setiap beras yang diimport ke Malaysia telah melalui proses pemeriksaan dan pengesahan yang teliti pelbagai peringkat sebelum diedarkan kepada pemborong dan pengilang beras di negara ini.

Bernas dalam kenyataan hari ini menjelaskan selaku pengimport tunggal beras di Malaysia, beras yang dibawa masuk terus dari kilang negara pengekport akan melalui proses tersebut yang dibuat oleh Pemeriksa Kawalan Kualiti dilantik.

"Pemeriksaan dan pengesahan kualiti bijirin adalah mengikut piawaian yang ditetapkan ketika bijirin dikeluarkan dari kilang dan dimuat naik ke kapal. Pemeriksaan yang sama akan dibuat Pemeriksa Kawalan Kualiti lain apabila bekalan beras sampai ke pelabuhan negara.

"Setibanya di pintu gudang, makmal pengurusan kualiti Bernas iaitu satu-satunya makmal bertauliah yang seumpamanya di negara ini, akan membuat 'sampling' atau mengambil contoh serta menjalankan analisis terhadap bijirin beras berkenaan, " kata kenyataan tersebut," menurut kenyataan tersebut.

Beras yang sudah dianalisis kemudiannya akan ditauliahkan Sijil Pengesahan Kualiti dan Spesifikasi sebagai jaminan daripada Bernas untuk rujukan pemborong dan pengilang yang membelinya.

Sebelum ini, tular dalam laman sosial dakwaan kononnya berlaku kes penjualan beras tiruan yang diperbuat daripada plastik di seluruh negara.

Bernas berkata, perkara itu didapati tidak benar oleh pihak berkuasa termasuk bahagian Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri dan Asas Tani.

-- BERNAMA