Bayar Zakat Dalam Talian Menerusi PPZ-MAIWP

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Umat Islam yang ingin membayar zakat secara mudah kini boleh melaksanakan Rukun Islam keempat itu secara dalam talian menerusi portal Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) di www.zakat.com.my.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Abdul Hakim Amir Osman berkata melalui Kempen Berzakat Di Hujung Jari, orang ramai boleh membuat pembayaran menerusi dalam talian dengan mudah, cepat dan perkhidmatan itu disediakan 24 jam.

"Bagi mereka yang membuat pembayaran secara dalam talian ini, mereka berpeluang memenangi 20 baucar tunai barangan elektrik bernilai RM250 setiap satu.

"Untuk zakat fitrah kita hanya ada baki lima hari sahaja lagi bagi membayar zakat, marilah kita merebut peluang ini dan janganlah kita bertangguh," katanya menerusi sidang Media Online bagi menjayakan Seruan Berzakat Di Penghujung Ramadan 1438H di sini, hari ini.

Sementara itu, jelasnya, pemegang akaun CIMB pula berpeluang memenangi wang tunai RM10,000 tajaan CIMB Islamic Bank Bhd apabila membuat bayaran zakat melalui "http://www.cimbcliks.com.my\ dan tawaran ini dibuka dari 27 Mei sehingga 25 Julai.

Selain itu Abdul Hakim berkata, sebanyak 11 kaunter PPZ-MAIWP dibuka setiap hari seawal 8.15 pagi hingga 4.30 petang sepanjang Ramadan termasuk cuti umum iaitu lapan di Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, dua (WP Putrajaya) dan satu (WP Labuan).

"Pada hari terakhir Ramadan, iaitu Sabtu ini, kaunter PPZ-MAIWP akan dibuka dari 8.15 pagi sehingga 1 tengah hari sahaja bagi memberi peluang kepada kakitangan kami untuk pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing," katanya.

Sepanjang bulan Ramadan pihak PPZ-MAIWP turut menyediakan perkhidmatan kaunter zakat bergerak yang membolehkan umat Islam untuk membuat bayaran, pengiraan, semakan dan juga mendapatkan resit bagi pembayaran zakat yang dibuat.

Untuk maklumat lanjut bagi pertanyaan zakat atau berkaitan kempen-kempen PPZ-MAIWP, orang ramai boleh menghubungi talian zakat PPZ-MAIWP di 1-300-88-5757 serta melayari laman sesawang "http://www.zakat.com.my\".

-- BERNAMA