Peniaga Diingatkan Patuhi Arahan

SUNGAI PETANI, 18 Jun (Bernama) -- Golongan peniaga diingatkan supaya mematuhi peraturan ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sepanjang pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri tahun ini bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata pemeriksaan di Pasar Awam Taman Ria dekat sini hari ini, mendapati masih terdapat peniaga gagal mematuhi peraturan terutamanya dari segi meletakkan harga tinggi melebihi harga kawalan.

"Kita ingin mengingatkan semua peniaga agar tidak menjual barangan kawalan melebihi harga ditetapkan, selain turut memastikan label merah jambu diletakkan pada barangan kawalan.

"Sebanyak 200 gerai diperiksa. Daripada jumlah itu terdapat lebih 30 peniaga ikan dan hanya tiga daripadanya yang menjual ikan kembung meletakkan harga melebihi harga kawalan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2017 peringkat negeri di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah KPDNKK Kedah Mohd Fitri Hasan.

Ku Abd Rahman berkata harga jualan runcit ikan kembung yang ditetapkan ialah RM14 sekilogram, namun ketiga-tiga peniaga terbabit menjual pada harga antara RM18 dan RM20 sekilogram.

"Apabila disoal, ada dalam kalangan peniaga mendakwa mereka mendapatkan bekalan pada harga borong yang tinggi iaitu RM17.50 sekilogram.

"KPDNKK akan mengeluarkan notis dalam tempoh terdekat, meminta peniaga memberi penjelasan dalam tempoh 14 hari, berhubung tindakan mereka menaikkan harga tersebut," katanya.

Sementara itu, Ku Abd Rahman memuji sikap seorang peniaga sayur dan barangan runcit yang mempamerkan tanda harga dengan kemas dan mengikut peraturan ditetapkan.

"Tindakan peniaga ini melabelkan barangan kawalan dengan warna merah jambu, mempunyai tulisan yang jelas dan tidak mengelirukan pengguna, wajar dipuji dan dicontohi peniaga lain," katanya.

-- BERNAMA